Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Saya Nak Keadilan Untuk Anak Saya” - Bapa Nurin Jazlin Terkenang Kes Anaknya 14 Tahun Lalu Yang Masih…

Hanafis Haris
26/10/2021 07:54 MYT

Sedar tak sedar, sudah 14 tahun pemergian Nurin Jazlin Jazimin yang meninggal dunia kerana dibunuh dengan kejam ketika berusia 8 tahun.

Kes kematiannya ternyata menggemparkan negara apabila mayat Nurin dijumpai di dalam sebuah beg pakaian dengan beberapa kesan kecederaan teruk dipercayai dirogol oleh individu tidak berhati perut.

Malah, sehingga hari ini pelaku yang menyebabkan kematian Allahyarham masih menjadi tanda tanya.

Pun begitu, isu tersebut kembali menjadi topik ‘hangat’ apabila bapa Nurin bertindak meluahkan pandangannya mengenai kes berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Jazimin Abdul Jalil, perkara itu dibuat apabila dia secara tiba-tiba teringat mengenai kes anaknya, Nurin.

“Bila la pihak berwajib nak selesaikan kes Nurin yang mana keadilannya bertahun-tahun lama saya tunggu dan nanti.

“Keadilan untuk Nurin Jazlin masih tidak ada apa-apa berita,” katanya.

Tambahnya, dia amat berharap pihak berwajib dapat selesaikan kes Nurin dengan segera.

“Saya nak keadilan untuk anak saya,” katanya.

Sehingga kini posting berkenaan telah dikongsi sebanyak 4,300 kali.

Sementara itu, menerusi ruang komen, rata-rata netizen menitipkan doa supaya kes berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

Sekadar info Nurin yang ketika itu berusia lapan tahun hilang pada 20 Ogos 2007 selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayatnya dijumpai dalam sebuah beg sukan 27 hari kemudian di hadapan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya, dekat sini dan laporan bedah siasat mendedahkan bahawa dia pernah didera secara seksual.

#Polis #Nurin Jazlin Jazimin #Kes
;