Hiburan
"Saya Nekad Jadikan 2019 Sebagai Permulaan..." - Haqiem Rusli
Penyanyi Haqiem Rusli tidak ingin cerita kontroversi lebih hebat daripada perjalanan kariernya.
Jelas Haqiem, dia sudah nekad untuk menjadikan tahun ini sebagai tahun yang bebas daripada sebarang masalah.
"Cukuplah dengan apa yang terjadi tahun lalu. Saya tidak mahu cerita panas lebih banyak diperkatakan berbanding kerjaya.
"Oleh itu, saya nekad menjadikan 2019 sebagai permulaan untuk bersih kontroversi.
"Tahun ini saya banyak memenangi anugerah iaitu di Anugerah Meletop (AME) dan juga baru-baru ini di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
"Saya memang sudah berniat pada diri sendiri apabila melakukan kesalahan, saya akan perbetulkan.
"Jadi bagi saya apabila sekali terjatuh, jangan terus berputus asa kerana semua itu sudah tertulis oleh Allah," katanya kepada Gempak.
Haqiem ditemui usai konsert mini bersama peminat yang diadakan di Forest Valley Hall, Cheras.
Tambah pelantun lagu Selamat Tinggal Sayang ini, dia akui pengalaman ditempuh pada tahun lalu mematangkan dirinya.
"Apa yang jadi itu menjadikan diri saya lebih matang.
“Adalah juga sikit-sikit jadi kecaman netizen, tetapi cuma isu kecil.
"Alhamdulillah, saya berjaya menepis kontroversi pada tahun ini dan harapnya terus kekal begini," tambahnya lagi.