Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan dia pernah didekati lelaki berstatus suami orang sejak tersebar berita keretakan rumah tangganya dengan penyanyi Aliff Aziz tahun lalu.

Kata Bella, ramai yang menganggap dia berstatus janda hingga sanggup memberanikan diri untuk berkenalan dengannya.

"Saya ni ramai suami orang nak kenal-kenal mungkin mereka ingat saya sudah janda dan sebagainya.

"Sampai saya terfikir adakah isteri mereka tahu," katanya menerusi ruangan komen di Instagram.

Bagaimanapun, Bella mengambil pendekatan untuk menyekat akaun lelaki berkenaan demi menjaga keperibadiannya sebagai wanita.

"Apa saya buat? Sangat mudah, saya blocked.

"Jagalah keperibadian kita sebagai perempuan, kalau kita pandai jaga diri, kita pasti dihormati.

"Tapi kalau kita bertepuk tampar, gedik-gedik lelaki pun akan fikir senang nak dapat sebab macam tak ada rasa malu pun," tambahnya.

Bella sebelum itu sekali lagi tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku antara dia, suami dan wanita yang pernah terpalit sebagai individu ketiga dalam rumah tangga mereka.

"Saya bukan gaduh pasal tak cukup beras, anak, tapi pasal orang ketiga. Saya dah cakap saya takkan berbuat demikian kalau perempuan itu bukan artis dan kerja biasa-biasa.

"Tapi awak tak tahu beberapa kali saya maafkan, tak sangka senyap-senyap mereka berlakon depan saya, cabar saya sampai hilang tahap kesabaran," jelas Bella lagi.
Sementara itu, Bella tampil mengulas mengenai 10 peluang yang diberikan kepada suaminya seperti yang ditulis dalam sebuah artikel portal hiburan baru-baru ini.

Kata Bella, kenyataannya telah digabungkan menjadi tajuk oleh portal berkenaan hingga mengundang komen netizen yang hanya membaca tajuk sahaja.

"Saya ada nampak satu artikel sebuah portal di Twitter dan tajuk dia 'Saya bukan bodoh, 10 peluang pun saya akan begi'. Memang saya cakap tapi bukan macam itu.

"Mereka dah gabungkan apa yang saya cakap. Tapi saya faham dan tidak salahkan media. Saya tahu mereka buat macam itu supaya orang tertarik nak baca.

"Tapi masalahnya sekarang ini orang dekat luar sana... tak nak baca. Mereka nampak tajuk dan terus komen. Tapi... tak apa la," kata Bella dengan nada yang tenang menerusi laman Instastory miliknya.

Menerusi artikel yang diambil daripada temubual sebuah akhbar tempatan, Bella memberitahu biarpun dirinya dilabel perempuan bodoh, dia enggan melayan persepsi negatif tersebut.

Malah, Bella menganggap peluang yang diberikan kepada suaminya adalah risiko yang akan ditanggungnya sendiri.

Sebelum ini, Bella dan Aliff pernah bercerai pada Mei tahun lalu selepas suaminya beberapa kali kantoi curang namun pasangan itu rujuk kembali ketika dalam tempoh edah.

Bella dan Aliff mempunyai dua cahaya mata bernama Mohamed Ayden Adrean, 3 dan Ara Adreanna yang lahir pada 18 Julai lalu.