Hiburan
Saya Okay Cuma Patah Tulang Betis - Lagi Dua Minggu Nak Tunaikan Haji, Fakhrul UNIC Kemalangan
Anggota kumpulan UNIC, Fakhrul dilaporkan terlibat dalam kemalangan selepas motosikal yang dibawanya terbabas dan melanggar pembahagi jalan kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Kemalangan tersebut berlaku ketika Fakhrul dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Menurut Fakhrul, dia bersyukur kerana kemalangan itu tidak meragut nyawanya dan hanya mengalami patah tulang betis dibahagian kaki kanannya.
“Motor yang saya bawa itu terbabas kerana jalan licin akibat hujan yang baru sahaja selepas turun.
“Ketika itu saya baru sahaja selesai mengacarakan program Bismillah Addhuha. Benda dah nak berlaku, saya redha dan besyukur kerana tidak mengalami kecederaan yang serius.
“Hanya patah tulang betis, tangan terseliuh dan juga sedikit calar - balar dibahagian badan. Mujur kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kenderaan.
“Alhamdulillah saya okay, terima kasih kepada mereka yang membantu dan saya mohon peminat doakan supaya saya cepat sembuh”, katanya ketika dihubungi Astro Gempak.
Dalam pada itu, Fakhrul juga memberitahu dia masih belum dapat memastikan keberangkatannya ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji kerana keadaannya tidak mengizinkan.
“Kalau diikutkan saya akan berangkat menunaikan ibadah haji dua minggu lagi namun disebabkan keadaan saya begini, kena tunggu keputusan doktor terlebih dahulu,” jelasnya.
Fakhrul kini ditahan di Pusat Perubatan Kelana Jaya selepas mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital berkenaan.
Teks oleh: Mya Amri
Kredit foto: Azlan (rakan Fakhrul)
Must-Watch Video