"Saya Paksa Diri Untuk Istiqamah" - Norman Hakim Syukur Khatam Al-Quran

Asraf Aided
November 27, 2019 10:47 MYT
Pelakon Norman Hakim berkongsi kegembiraannya yang telah khatam kitab suci Al-Quran.
Perkongsian itu dibuat menerusi entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan wargamaya.
Menurut Norman, dia telah memaksa diri sendiri untuk membaca Al-Quran sebanyak empat muka surat setiap hari.
Dia juga gembira kerana dapat membaca dan khatam Al-Quran bukan pada bulan Ramadan sahaja.
"Tengah syok-syok baca, tiba-tiba eh? Dah khatam! Alhamdulillah, memang tak perasan dah sampai muka surat terakhir.
"Ya saya pernah kongsi sedikit sebelum ini yang saya paksa diri untuk istiqamah baca Al-Quran empat muka surat sehari. Semuanya bermula lepas raya Aidilfitri tahun ini.
"Sebab diri ini selalu tertanya-tanya kenapa bulan Ramadan je aku dapat rasa nikmat ibadah? Mana nikmat bulan-bulan lain selain dari waktu Tahajud dan Dhuha?
"Jadi Allah tolong bagi hidayah mula baca Al-Quran walau bukan dalam bulan Ramadan, memang mula-mula kena paksa diri untuk dapat nikmatnya," tulis Norman sebagai kapsyen.
Perkongsian itu mendapat perhatian para pengikut Norman yang tumpang gembira dengan perkara itu.
Ada juga yang mengucapkan terima kasih kepada Norman kerana berkongsi perkara baik yang mampu dijadikan inspirasi.
Sekadar info, Norman mendirikan rumah tangga bersama isterinya, pelakon Memey Suhaiza pada 24 September 2011.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, Muhammad Dikhriz Hakim dan Mikayla Delisha Hakim.
#Aida Agil