Viral
'Saya Perlukan Kaki, Nak Tamatkan Tingkatan Lima Seperti Kawan-Kawan'
Dua remaja perempuan terpaksa akur dengan ketentuan ALLAH apabila kehilangan salah satu kaki akibat kecederaan dialami ketika terlibat kemalangan jalan raya pada Februari tahun lalu.
Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi, 18, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia dan kakaknya, Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas membeli kek di Bera.
"Sewaktu dalam perjalanan itu, saya nampak ada dua kereta di hadapan yang nak masuk ke simpang kiri dan kenderaan kedua berhenti tetapi apabila saya mahu potong, kereta kedua mengubah haluan lalu melanggar saya.
"Ketika itu juga, ada lori kayu getah dari arah bertentangan yang tidak sempat mengelak dan melanggar kami.
"Keadaan terus jadi gelap kerana saya pengsan. Bila sedar, saya berada di atas jalan dan terus minta orang sekeliling hubungi bapa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, Nik Haziera Saffiya memaklumkan, akibat daripada kemalangan itu, dia mengalami 11 kecederaan bermula daripada bahu hingga ke kaki.
Tambahnya, sebelum ini hanya kakaknya sahaja yang perlu melakukan pembedahan untuk memotong kaki kerana kecederaan parah pada bahagian tersebut.
"Tetapi pada Isnin (13 Januari), doktor mengesahkan bahawa kaki saya juga sudah tidak boleh diselamatkan akibat kegagalan saraf dan tidak akan sembuh.
"Pada mulanya sukar untuk saya terima apa yang terjadi sebab saya tidak dapat ke sekolah dan berjalan tetapi lama kelamaan... Alhamdulillah saya sudah redha dengan ketentuan-Nya.
"Bagaimanapun, saya berharap agar segera mendapat kaki palsu supaya saya boleh pergi ke sekolah untuk menamatkan pelajaran dan memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti rakan-rakan yang lain," ujarnya.
Sementara itu, ibunya, Noriah Adjun, 43, memohon ihsan daripada orang ramai atau pihak berkepentingan untuk memberikan bantuan kaki palsu kepada kedua-dua anaknya yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Katanya, pendapatan keluarga kini hanya bergantung dengan perniagaan cendol anak lelakinya dan pencen suami untuk menampung kos perbelanjaan serta perubatan.
"Sumber kewangan kami memang itu sahaja selain menerima bantuan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap seorang (mangsa kemalangan).
"Saya benar-benar mengharapkan ada pihak yang tampil untuk memberi bantuan kepada anak-anak, ditambah pula dengan anak ke empat saya kini turut diuji dengan ketumbuhan di otak.
"Sebelum ini, kakak (Nik Haznita Saffiya) pernah minta kaki palsu dengan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tuanku berkata akan beri tiga kaki baru, namun perbualan tamat setakat itu sahaja.
"Kami tidak tahu bagaimana nak berhubung semula dengan Tuanku untuk mendapatkan bantuan tersebut dan hanya mampu berharap agar permintaan saya kali ini dapat ditunaikan," jelasnya.
Orang ramai yang sudi untuk mengulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian ke akaun bank Nik Haziera Saffiya (006203148677 - Maybank) atau menghubungi ibunya di talian (014-2963645).
Sumber - Sinar Harian
Must-Watch Video