“Saya Pernah Diganggu Suami Orang Ketika Berpisah” - Pendedahan Eksklusif Bella Astillah Isu Curang & Skandal Lunchtime!
Isteri kepada pelakon dan penyanyi Aliff Aziz iaitu Bella Astillah mendedahkan dia pernah diganggu suami orang ketika rumah tangganya sedang berantakan.
Pendedahan eksklusif itu dibuat Bella menerusi program bual bicara, Borak Kelamin yang ditayangkan 9 malam ini.
Menurut Bella, dia percaya isu curang ini semakin banyak berlaku di luar sana membabitkan kedua-dua jantina, baik lelaki atau perempuan.
“Cumanya orang ramai tak tahu kisah mereka seperti kisah Bella. Saya kerap terima mesej di Instagram daripada wanita yang meluahkan kisah pasangan mereka.
“Bila dengar kes macam ni, saya sedih kerana sangat faham perasaan itu. Isu ini berlaku pada kedua-dua jantina,” katanya.
Jelas Bella lagi, sebagai wanita dia menasihatkan orang ramai supaya teguh dengan pendirian.
“Kita sebagai wanita kena ada pendirian yang kuat. Bella masa fasa berpisah tu ada suami orang yang cuba dekat dengan Bella.
“Termenung saya memikirkan adakah isteri dia tahu. Kita ada peranan, jadi kita jangan layan.
“Kita boleh je kata tidak pada mereka,” katanya.
Sementara itu menurut Perunding Psikologi keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, statistik diperolehnya menunjukkan sembilan daripada 10 kes curang membabitkan orang ketiga.
Tambah membimbangkan, tujuh daripada sembilan kes itu turut membabitkan suami dan isteri orang.
“Paling sedih ada diantara kes ini, rata-ratanya melepaskan geram kepada anak-anak,” katanya.
Pada masa sama, Suzana memberi amaran kepada mereka yang berdepan dengan isu curang ini tidak segera meluahkan perasaan di media sosial mahupun ibu bapa.
Apakah sebab dan alasan di sebalik itu, anda harus tonton Borak Kelamin dengan topik Skandal Lunchtime, Mulanya Kesian, Akhirnya Jatuh Cinta, pada 10 Mei, Isnin jam 9 malam hanya di Astro Ria dan On Demand.
Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Awal Ashaari, Borak Kelamin juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Program ini juga diklasifikasikan untuk tayangan 18 tahun ke atas kerana mengandungi aspek kedewasaan yang tidak keterlaluan dalam setiap topik perbincangan.
Sekadar info, Bella berkahwin dengan Aliff pada 9 September 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata Muhammad Ayden Adrian, 3, serta Ara Adreanna yang kini berusia 7 bulan.
Pasangan ini pernah bercerai pada pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali kantoi berlaku curang namun rujuk kembali ketika Bella dalam tempoh edah.