"Saya Pernah Dihina Kerana Status Seorang Balu" - Nora Ariffin Akui Bukan Mudah Hidup Selepas Ketiadaan Suami

ZULHILMI JALIL
Februari 18, 2020 08:03 MYT
Penyanyi Nora Ariffin mengakui bahawa bukan mudah menjalani kehidupan sebagai seorang wanita yang berstatus balu.
Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin, 47, berkata disebabkan statusnya itu, dia sering dipandang hina.
"Saya pernah dihina kerana status seorang balu. Pelbagai kata-kata nista. Hanya kerana saya seorang ibu tunggal yang terpaksa berdikari setelah kematian suami.
"Anak saya, anak-anak yatim, juga pernah merasai bagaimana dipanggil sebagai anak yang tak cukup kasih sayang, meraih simpati dan lain-lain. Sesungguhnya, hanya Allah yang tahu," tulisnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Menurut Nora lagi, tiada wanita di dunia yang mahu melalui episod kehilangan suami.
"Tidak ada seorang perempuan pun yang mahu kematian suami.
"Tidak ada seorang anak pun yang mahu menjadi anak yatim, terutama sekali di usia yang kecil. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
"Sedekahkan al-Fatihah buat semua yang telah pergi. Bertabahlah dengan ujian hidup," luahnya.
Perkongsian pelantun lagu Samudera itu menerima pelbagai respons yang bersetuju dengan apa yang disuarakannya itu.
"Saya juga menjadi balu ketika umur baru 23 tahun. Anak kehilangan ayah di waktu usia lapan bulan. Semoga kita tabah dan kuat untuk teruskan hidup demi membesarkan anak," tulis salah seorang pengikutnya.
Nora sebelum ini kehilangan suaminya, Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama yang dilaporkan meninggal dunia pada 24 Mac 2017.
Dua tahun kemudian, Nora kemudian kehilangan anak lelakinya, Muhammad Syakir Alif Johan yang pergi secara mengejut pada Disember lalu.
#Penyanyi #Nora Ariffin #Penyanyi