Berita
"Saya Pernah Hampir Berputus Asa, Tetapi..." - Datuk Seri Siti Nurhaliza Buka Cerita Terima Sokongan Raja Permaisuri Agong
Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan dia pernah hampir berputus asa ketika berusaha untuk mendapatkan zuriat menerusi kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam usaha baginda mendapatkan zuriat menjadi penguat semangat buat dirinya.
"Saya pernah hampir berputus asa, tetapi saya selalu ingat bagaimana kesungguhan Raja Permaisuri Agong.
"Tuanku 17 kali, inikan pula saya lima kali (baru berjaya). Alhamdulillah. Tuanku, Terima kasih. Tuanku adalah inspirasi buat patik," katanya.
Siti berkata demikian sewaktu berucap di hadapan Raja Permaisuri Agong pada Majlis Pelancaran Pembukaan Pusat Kesuburan Alpha IVF & Women Specialist, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Turut hadir, pengasasnya, Datuk Dr. Colin Lee yang juga merupakan individu yang membantunya menjalani proses rawatan IVF.
Katanya lagi, baginda juga merupakan antara insan yang menjadi tempatnya berkongsi cerita sewaktu tempoh kehamilan.
"Selain keluarga, insan yang saya berkongsi cerita tak lain tak bukan, Raja Permaisuri Agong. Tuanku mengambil berat sewaktu patik mengandungkan Aafiyah. Tuanku sempat mencemar duli ke rumah patik untuk beri nasihat.
"Tuanku memang seorang yang sangat mengambil berat kepada rakyat dan khusus wanita yang ada masalah mendapatkan cahaya mata," katanya.
Pada majlis itu, Siti Nurhaliza mempersembahkan lagu Comel Pipi Merah yang turut ditemani permata hatinya Siti Aafiyah Khalid yang dirakamnya ketika kandungannya berusia tujuh bulan.
Siti mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa pada 21 Ogos 2006.
Selepas lebih sedekad, Siti disahkan hamil anak sulung pada Jun 2017 selepas beberapa kali menjalani rawatan kesuburan.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Aafiyah yang kini berusia setahun lapan bulan.
Must-Watch Video