Laman Utama
“Saya Pernah Keguguran… Maksudnya Bukan Tak Boleh Hamil!” - Uqasha Senrose Tidak Terkesan Dengan Sindirian Soal Zuriat
Pelakon Uqasha Senrose mengakui dia tidak terkesan dengan komen netizen yang menyindir dirinya belum lagi dikurniakan cahaya mata selepas dua tahun berkahwin.
Uqasha bagaimanapun berkata dia hanya berasa sedih apabila individu yang meninggalkan komen sebegitu di laman sosialnya adalah seorang wanita.
“Saya cuba abaikan sindiran yang mengaitkan isu anak kerana semuanya berbalik kepada rezeki Allah, siapa kita nak mempertikaikan kuasaNya.
“Lagipun sebenarnya banyak lagi dugaan besar lain pernah kami hadapi berbanding kata-kata pedih seorang wanita menerusi komennya.
“Cuma saya rasa sedih sebab komen tersebut datangnya dari seorang wanita… saya sedih dengan cara percakapan individu berkenaan,” katanya kepada Gempak.
Uqasha ditemui di pentas akhir program Mega Spontan 2023 pada malam Jumaat bagi memberi sokongan kepada suami, aktor Kamal Adli yang bertindak sebagai mentor kumpulan Srivijanda.
Menurut Uqasha lagi, pengalaman pernah mengalami keguguran dalam tempoh hampir dua tahun mendirikan rumah tangga membuktikan mereka mampu mempunyai anak.
“Saya enggan memikirkan pendapat orang lain berhubung isu ini, malah jika kami berusaha dan berikhtiar pun takkan kami kena hebahkan. Lagipun, saya pernah keguguran akibat terlalu banyak kerja.
“Jadi, maksudnya saya bukan tak boleh hamil dan usia perkahwinan kami baru dua tahun. Apa pun doakan saja kami dikurniakan rezeki cahaya mata, begitu juga dengan wanita lain yang menunggu berita gembira itu,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Netizen Hati Busuk Sindir Tak Dapat Anak, Uqasha Senrose Jawab - “Sedihnya Cakap Macam Ni… Itu Rezeki Allah”
Terdahulu pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa meluahkan rasa kecewa dalam Instagram apabila disindir netizen masih belum dikurniakan anak selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.
Uqasha membalas sindiran seorang netizen dalam ruangan komen Instagram yang kononnya kasihan melihat dirinya dan dua adiknya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose masih belum dikurniakan anak.
Isteri kepada aktor Kamal Adli itu juga sebelum ini pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali itu pada awal tahun 2022 dan November 2022.
Must-Watch Video