PERSONALITI
“Saya Pernah Suruh Edika Kahwin Lain Tapi Jawabnya, Buat Apa Tambah Masalah? Cukuplah Satu Wheelchair Saya Tolak.”
Ramai yang sudah mengetahui kisah rumahtangga pelakon kacak yang popular era 90-an dan kini kembali aktif berlakon iaitu Edika Yusof bersama isteri Hidayah Yusri yang masih tidak mampu berjalan setelah menderita sakit meningitis yang menyebabkannya lumpuh dari dada sampai hujung kaki.
Sedikit imbasan kisah penyakitnya itu. Ia bermula selepas lim hari melahirkan anak ke dua mereka. Daripada demam panas, doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman yang sudah merebak hingga ke kepalanya menyebabkan Hidayah umpama nyawa-nyawa ikan waktu itu.
Setelah koma sembilan hari, umurnya dipanjangkan namun, keadaannya tidak lagi sama seperti dulu. Hidayah hilang deria pendengaran dan percakapan selain lumpuh dari dada ke kaki dan muka sebelah kirinya herot menyebabkan sebelah matanya tidak boleh dibuka. Kalau dibuka pun, biji mata hitam akan lari ke hujung mata.
Setelah lebih dua bulan berada di wad hospital, akhirnya Hidayah dibawa pulang dalam keadaan masih tidak banyak beza. Bermula dari detik itulah, Edika Yusof mengambil alih tugas di rumah. Dialah ibu dan ayah di rumah. Daripada tugas mencari rezeki hinggalah kerja-kerja di rumah diuruskan dengan bantuan anak sulung.