"Saya Putus Cinta Ketika Sambung Master Tapi ..." - Najwa Latif Bukti Mampu Dapat 4 Flat Peringkat Master, Bergraduasi Tak Lama Lagi!

Amri Hassan
Julai 23, 2019 22:56 MYT
Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif berkongsi khabar gembira apabila lulus cemerlang 4 flat dalam peringkat sarjana.
Kejayaan Najwa itu membuktikan dia tidak pernah berputus asa walaupun pernah hampir menamatkan persekolahan ketika belajar di tingkatan empat suatu ketika dahulu.
"Siapa sangka gadis ini yang pernah cakap 'Wawa nak kerja ma. Wawa tak nak sekola dah, Wawa tak nak belajar' ketika tingkatan empat dulu akhirnya mendapat keputusan akhir master.
"Perkara terbaik yang berlaku (semalam) apabila saya menghubungi ibu saya memberitahu keputusan saya, ibu saya gembira dan saya menangis.
"Apabila orang cakap saya tak mampu melakukannya, saya percaya mereka dan saya bukan jenis yang akan membuktikan saya yang terbaik pada semua orang tetapi saya berusaha sedaya mampu," tulisnya menerusi akaun Instagramnya.
Perkara itu sekali gus membolehkan Najwa bergraduasi pada tahun ini.
Tambahnya, dia pernah melalui peristiwa putus cinta ketika sedang menyambung pelajaran dalam bidang sarjana namun kembali bangkit mengejar cita-citanya.
"Saya putus cinta ketika menyambung master. Itu menerangkan segalanya tentang saiz badan saya yang anda selalu sangat disebut-sebut tu.
"Tapi, Tuhan berikan peluang untuk bernafas dan cuba jadi lebih baik lagi, keluarga yang percaya saya ketika saya tak percayakan diri sendiri.
"Ketika saya menulis tentang perkara ini, saya tidak ada boyfriend lagi apabila kawan-kawan saya ada yang sudah ada boyfriend, tunang, kahwin, ada anak.
"Tapi berkat doa semua orang, saya habis master, graduasi tahun ini insya-Allah. Jadi, tak ada boyfriend takpa, tapi saya dapat nampak 4 untuk pertama kali dalam hidup ni," tulis Najwa yang turut melayangkan ucapan penghargaan dan terima kasih buat keluarga, sahabat dan pensyarahnya.
Najwa menyambung pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua di Universiti Malaya sejak dua tahun lalu.
Sebelum itu, Najwa bergraduasi dalam jurusan sama dari Universiti Antarabangsa Unitar pada 2017.
#Penyanyi #Penyanyi #Najwa Latif #Sarjana