DRAMA

“Saya Ragu-Ragu Awalnya…” – Qasrina Karim Cabar Diri Bawa Watak Berat Dalam Thariq Ridzuwan: His Treasure

Umirah Halim 17/04/2025 | 12:55 MYT

Pelakon berbakat Qasrina Karim mengakui pada awalnya dia berasa ragu-ragu untuk menerima tawaran membintangi drama baharu terbitan Astro, Thariq Ridzuwan: His Treasure, yang bakal menghiasi slot Dramavaganza bermula 23 Julai ini di Astro Ria.

Namun segalanya berubah selepas perbincangan bersama pihak produksi, yang memberi keyakinan kepada dirinya untuk menerima cabaran baharu dalam karier lakonannya.

“Pada awal saya dapat tawaran, saya tidak terima terus, saya tanya pendapat manager kerana saya ragu-ragu boleh ke dapat bawa watak ini.

“Selepas saya bercakap dengan pihak Astro dan dengar kenapa mereka pilih saya, mereka sebenarnya dah buat research tersendiri kenapa saya yang sesuai untuk watak ini.

“Saya nak cabar diri saya dengan genre lain sikit, sebab saya selalu bawa watak yang berbeza sedikit,” katanya ketika ditemui Gempak.

Mengulas mengenai respon awal penonton yang mempersoalkan pemilihannya, Qasrina mengakui ada sedikit rasa kecil hati, namun dia memilih untuk tidak mengambil perkara itu secara peribadi.

“Saya kecil hati sedikit tapi saya faham mereka punya concern, ada yang mempertikaikan tapi saya tak ambil itu personal. Mereka mungkin tak pernah nampak sisi saya yang membawa watak berat.

“Saya harap dapat menangkis dan membuktikan kemampuan saya,” ujarnya lagi.

Sekadar info, Thariq Ridzuwan: His Treasure menampilkan barisan pelakon hebat seperti Meerqeen selaku watak utama, serta Qasrina Karim, Averitts Gomez, Noki K-Clique, Mia Sara Shauki dan ramai lagi.

#Karim #Watak #Diri #Berat #Qasrina #'Cabar