VIRAL
"Saya Rasa Begitu Bersalah, Tekanan Sampai Ibu Hidap Kanser Lagi Sekali" - Syed Saddiq
Selepas lima tahun melalui episod yang disifatkan sebagai 'neraka', Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini meluahkan rasa bersalahnya kerana tekanan akibat kes mahkamah dihadapinya menyebabkan kanser ibunya berulang semula.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, sepanjang tempoh itu, integritinya cuba dicalar, manakala ibu bapanya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff terpaksa disoal siasat berulang-kali.
"Jalan lima tahun yang lepas memang penuh dengan rintangan dan cabarannya.
"Lima tahun itu adalah neraka kerana ada pihak cuba untuk mencalar integriti dan saya lebih mengambil berat tentang integriti saya berbanding nyawa saya sendiri.
Beliau berkata, pelbagai tawaran yang diterima terpaksa ditolak demi memilih jalan yang lebih sukar untuk membersihkan namanya di mahkamah."Ibu ayah masuk keluar disoal siasat. Saya sebagai anak rasa begitu bersalah kerana tekanan sampai ibu menghidap penyakit kanser lagi sekali," katanya dalam sidang media selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
"Pelbagai tawaran yang saya terima, saya terpaksa tolak. Jalan mudah ditolak untuk membersihkan nama di mahkamah kerana akhirnya mahkamah itulah benteng terakhir bagi rakyat yang disalahi dan dikhianati.
"Sebab itu kemenangan pada hari ini mengingatkan saya mengapa saya memilih jalan untuk mengabdikan diri kepada perjuangan untuk memajukan Malaysia.
"Saya benar-benar mencintai negara ini lebih daripada nyawa saya sendiri dan akan melakukan apa sahaja untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang hebat," katanya.
Beliau turut berharap apa yang dilaluinya tidak akan dialami oleh mana-mana musuh politiknya.
"Lima tahun itu sangat lama apabila saya fikir segala rintangan, cabaran yang bukan setakat saya, ramai lagi yang lalui bersama dengan ugutan, sogokan tetapi saya ingat saat pertama apabila saya digertak, saya tidak rasa takut kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar.
"Nak tawar apa pun, nak ugut apa pun tak mengapa kerana akhirnya saya hanya sekadar kenderaan kecil yang rapuh, boleh ditukar pada bila-bila masa.
"Tetapi kenderaan inilah akhirnya memilih jalan untuk mengabdikan diri kepada Malaysia dan rakyatnya," katanya
Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini melepas dan membebaskan bekas Presiden Muda itu daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara memutuskan bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak bersalah, sekali gus menerima rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.
Turut bersidang Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin. - BH
Must-Watch Video