Penyanyi dan bintang Dansa Dan Sing, Wani Kayrie akui gembira kerana berpeluang untuk memegang watak utama dalam drama lakonannya, Dayang Senandung.

Menurut Wani, penglibatannya dalam drama tersebut juga menambah keterujaan setelah sekian lama tidak terlibat dalam bidang lakonan.

"Saya telah mulakan perjalanan tahun 2020 ini dengan menyertai Dansa Dan Sing awal tahun lalu, kemudian, sekarang saya melibatkan diri dalam bidang lakonan pula.

"Seperti diketahui peminat, saya bakal muncul dalam drama terbaru yang berjudul Dayang Senandung. Saya bersyukur dan sangat gembira kerana inilah kali pertama saya diberi kepercayaan untuk memegang watak utama, sebelum ini saya hanya terlibat sebagai watak pembantu sahaja.

"Selain itu, saya juga teruja kembali ke set penggambaran setelah sekian lama tak terlibat dalam bidang lakonan," katanya ketika dihubungi Gempak.



Tambah Wani, dia merasakan perubahan kerjayanya sebagai seorang penyanyi yang mencuba nasib dalam bidang lakonan adalah satu perkara mencabar.

"Sebagai seorang penyanyi yang mahu jadi pelakon, ia merupakan satu perkara yang mencabar untuk saya.

"Sejak kembali berlakon, saya rasa bersemangat untuk terus berlakon lagi selepas ini dan mencuba watak-watak lain.

"Kalau kita perhatikan, zaman sekarang semakin hari semakin ramai penyanyi yang muncul, tetapi masih belum ramai pelakon yang seusia dengan saya," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Wani bakal muncul dengan sebuah single terbaru tidak lama lagi.

Difahamkan, Wani kini sedang dalam proses untuk menghasilkan buah tangan terbaru buat para peminatnya itu.