Laman Utama
"Saya Rasa Dunia Saya Sepi" - Raissuddin Hilang Kata-Kata Bila Shuib Beritahu Siti Sarah Sudah Tiada
Bapa kepada Allahyarhamah Siti Sarah, Raissuddin Hamzah reda dengan pemergian anak perempuannya pada pagi Isnin lalu.
Ketika diminta mengulas mengenai pemergian Sarah, kata Raissuddin, 65, ia satu ketentuan Ilahi.
"Saat Shuib datang dan melutut di hadapan saya sambil memberitahu Sarah sudah tiada... saya tidak tahu nak berkata apa.
"Sebenarnya apa yang berlaku adalah satu takdir yang sudah ditetapkan Allah.
"Saya harap semua terus mendoakan arwah dan moga dia tenang di sana. Kita hanya dapat kenang sebab dia tidak akan kembali lagi," katanya selepas majlis bacaan tahlil dan doa selamat secara maya buat arwah Siti Sarah pada Selasa.
Menyentuh tentang keperibadian Sarah, kongsi Raissuddin yang juga penyanyi era 80-an, anaknya itu seorang yang taat dan manja dengan orang tuanya.
"Dia seorang anak yang sangat baik dan tak pernah membantah serta melawan cakap saya.
"Arwah juga seorang yang manja dengan saya....banyak kenangan manis kami bersama sepanjang 37 tahun hidupnya.
"Sehari sebelum dia pergi ke hospital, kami saling berpegangan tangan tetapi tidak berkata apa-apa," tambahnya.
Allahyarhamah Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat COVID-19, jam 5.13 pagi Isnin.
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Penyanyi lagu Kesetiaan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada kira-kira pukul 1.20 petang Isnin.
Allahyarhamah meninggalkan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini masih berada dalam pemantauan di PPUKM.