“Saya Rasa Hebat” – Arnold Schwarzenegger Selamat Jalani Pembedahan Jantung

Mya Amri
Oktober 27, 2020 11:09 MYT
Bintang terkenal Hollywood, Arnold Schwarzenegger selamat menjalani pembedahan jantung baru-baru ini.
Schwarzenegger, 73, memaklumkan perkara itu menerusi posting terbaharu yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Posting itu juga disertakan dengan foto terbaharu Schwarzenegger yang berbaring di atas katil hospital sambil membuat isyarat bagus.
"Saya mempunyai injap aorta yang baharu selain injap pulmonari daripada pembedahan yang sebelum ini.
“Saya rasa hebat dan sudah pun keluar berjalan-jalan disekitar Cleveland untuk melihat pemandangan indah," tulisnya.
Terdahulu, Schwarzenegger yang juga merupakan bekas jaguh bina badan Mr Universe pernah menjalani pembedahan jantung pada tahun 1997 untuk menggantikan injap aorta.
Pelakon yang dilahirkan dengan kecacatan jantung ini sekali lagi melalui perkara yang sama dan menjalani pembedahan kecemasan pada 2018 bagi menggantikan injap pulmonari.
Schwarzenegger merupakan bintang filem aksi terkenal sekitar tahun 1980-an dengan filem popular seperti Conan the Barbarian dan The Terminator.
Pada tahun 2003, Schwarzenegger telah dilantik sebagai Gabenor California dan banyak memperjuang polisi berkaitan alam sekitar.
Selepas mengakhiri penggal perkhidmatannya pada 2011, dia kembali ke layar perak dan muncul dalam filem The Expendables 2 serta sekuel The Terminator.
#Arnold Schwarzenegger #Artis Hollywood