Penyanyi Alif Satar akui selesa bergerak bersama kumpulannya The Locos, dan kini dikenali sebagai Alif & The Locos.

Menurut Alif, dia tidak lagi memandang perjalanan karier sebagai penyanyi secara solo setakat ini, sebaliknya mahu terlibat bersama kumpulan itu untuk tempoh yang panjang.

"Sejujurnya, saya dah tak fikir sangat untuk bergerak solo dalam bidang nyanyian, saya mahu penglibatan berkumpulan ini berterusan untuk tempoh yang panjang, Insya-Allah.

"Sejak penubuhan The Locos lima tahun lalu, kami sentiasa bekerjasama dalam beberapa projek termasuk persembahan di luar negara, kita tak tahu masa akan datang bagaimana, tapi buat masa ini, saya selesa bersama The Locos.

"Saya rasa lebih puas membuat persembahan bersama band, sudah jenuh saya menyanyi dengan hanya menggunakan minus one sebelum ini," selorohnya.

Alif berkata demikian dalam sidang media virtual sempena pelancaran single terbaru berjudul Anugerah Terindah oleh Alif & The Locos.

Bercakap mengenai penghasilan lagu tersebut, Alif mengatakan ia terhasil ketika mereka mengadakan persembahan jelajah di Sheifield, United Kingdom pada Februari 2019.

"Genre lagu ini adalah pop, R&B dan ada pengaruh muzik 90-an, lagu ini dicipta oleh Romeo, Tam Cobain, Efry Arwais dan saya.

"Manakala lirinya pula ditulis pleh saya bersama Shah Shamsiri dan Romeo.

"Kami mula mengumpul idea tentang penghasilan lagu ini ketika membuat persembahan di UK pada Februari 2019," katanya lagi.

Video muzik Anugerah Terindah arahan Ghaz Abu Bakar telah dilancarkan di saluran YouTube Warner Music Malaysia, jangan lepaskan peluang menyaksikannya!