Hiburan
"Saya Rasa Sangat..." - Ini Reaksi Kak Lina Pom Pom Bila Wajahnya Jadi Penghias TV Sepanjang Minggu Pertama Raya
Pelakon, pengacara dan penyanyi Elly Mazlein bersyukur kerana rezekinya semakin mencurah selepas berkahwin.
Sepanjang minggu pertama Syawal, wajah wanita yang mesra dengan nama panggilan Kak Lina ini menghiasi kaca televisyen sebagai pengacara program Mega Raya Ria.
Ketika dihubungi oleh Gempak, Elly, 40, mengakui rezekinya semakin murah selepas berkahwin dengan suami, Mohammad Azlan Che Noh, 30, pada 18 Januari lalu.
"Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur. Rezeki yang tak putus-putus semenjak dulu sehingga ke hari ini.
"Rezeki semakin mencurah selepas bernikah. Rasa berterima kasih kepada mereka yang percaya dan memberikan peluang demi peluang.
"Tahun ini, boleh dikatakan semua stesen televisyen memberikan peluang kepada saya dan saya sangat hargai momen yang diberikan sekarang.
"Dengan rezeki dan peluang yang diberikan, saya sangat gembira dan akan berusaha memberikan hasil kerja yang terbaik kepada mereka yang mempercayai bakat saya," kata Elly.
Perkembangan positif kerjaya Elly turut diperkatakan oleh rakan selebriti, Adibah Noor yang berkongsi perkara terbabit di laman sosial Twitter.
"Sejujurnya, bila Kak Adibah tulis begitu di laman sosial miliknya, saya rasa terharu. Sangat 'touching'.
"Rasa macam ada orang sayang saya, ada orang mendoakan saya. Rasa sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah bagi," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Elly bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Kampung People yang memasuki musim kedua.
Must-Watch Video