Penyanyi Wany Hasrita mengakui tidak mempunyai masalah untuk berkongsi mengenai hubungan cinta sekiranya ia betul-betul pasti.

Namun katanya, setakat ini tidak ada apa yang ingin dikongsikan kerana belum dipertemukan dengan lelaki yang tepat.

“Saya tidak kisah berkongsi soal cinta tetapi biarlah dah betul-betul pasti barulah saya kongsi. Contoh macam kalau dah ada kad kahwin ke kan.

“Bagi saya tidak salah jika kita kongsikan perkara yang baik-baik sebab kita pun nak orang mendoakan yang baik-baik untuk kita.

“Tapi setakat ini saya masih berdoa agar ditemukan dengan jodoh yang betul,” katanya.

Tambah Wany lagi setakat ini tidak ada mana-mana lelaki yang menyatakan hasrat untuk berkawan atau mengenalinya dengan lebih dekat.

“Saya rasa macam tak ada je yang nak kenal dengan saya. Pelik juga.

“Tetapi saya tidaklah sampai ke tahap mencari dan tidak meletakkan ia sebagai fokus utama,” katanya ketawa.

Wany ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa FMC bersama media di Hotel EQ, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Cuma mungkin ia akan menjadi lebih sukar kalau kita terlalu mencari. Setakat ini, saya tidaklah fokus pun, bukan keutamaan,” katanya jujur.

Dalam perkembangan lain, Wany bakal muncul dengan lagu baru selepas sambutan Syawal tahun ini.

“Insya-Allah saya akan muncul dengan single baru berentak pop. Judulnya Pedas yang turut menampilkan Sophia Liana hasil ciptaan Altimet dan Sazzy.

“Alhamdulillah bekerja dengan mereka sangat senang.

“Malah ketika sesi penggambaran, Sophia juga seorang yang ‘easygoing’. Saya kata padanya, ingatkan garang, tetapi sebenarnya tidak.

“Dia lebih kepada kakak sementara saya pula adik. Pembaharuan terhadap pilihan lagu ini pun dibuat bagi serlahkan sisi berbeza saya berbanding sebelum ini,” katanya lagi.