Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Saya Rindu Nak Tengok Dia Melawak…”- Dakwa Terkena Buatan Orang, Tajul Sedih Khalis Tak Boleh Bercakap & Terlantar Sakit Secara Tiba-Tiba

Syafiqah Jalal
09/04/2021 10:20 MYT
“Sedih melihat keadaannya…Saya rindu nak dengar dia melawak kerana dia seorang yang periang serta suka beriadah bersama keluarga di tepi pantai,” kata penyanyi Tajul Ariff Noor Md. Shaari yang akui terkejut melihat keadaan abangnya, Khalis Shari yang juga penyanyi kumpulan The Real Spin.

Menceritakan mengenai keadaan Khalis ketika tiba-tiba jatuh sakit pada minggu lalu, Tajul terkejut melihat perubahan yang ketara apabila abangnya yang mengalami susut badan serta secara tiba-tiba tidak boleh bercakap hingga terlantar sakit.

“Sekejap je dia berubah jadi begitu, dalam masa tiga hari badannya jadi lesu dan susut dengan banyak.

“Saya memang terkejut melihat perubahannya dan bersimpati dengan nasibnya,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Terdahulu, tular di media sosial foto Khalis atau nama sebenarnya Muhammad Khalis Md Shari, 32, yang kelihatan amat pucat serta badan yang kurus didukung seseorang masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Bagaimanapun, Tajul tidak menolak kemungkinan abangnya terkena buatan orang.

“Ketika dia jatuh sakit tu, kami dah bawa dia berjumpa dengan doktor dan dia disahkan tidak mempunyai apa-apa penyakit.

“Sehinggalah kami bawa dia membuat perubatan Islam dan tradisional. Dia nampak sedikit sihat selepas itu namun tidak lama kemudian dia kembali sakit.

“Oleh kerana itu, dia dibawa ke hospital dan kini sedang dirawat oleh doctor,” kongsinya lagi.

Difahamkan berat abangnya kini menurun sehingga 32 kilogram (kg) berbanding sebelum sakit, 50kg.

Dalam pada itu, Tajul meminta agar semua mendoakan kesihatan abangnya supaya segera sembuh.

“Saya minta doa orang ramai supaya abang saya cepat baik,” pintanya.

Sementara itu, isteri Khalis, Zalina Azman, 40, menerusi laporan Harian Metro mengesahkan suaminya sudah dipindahkan ke wad biasa dari zon merah.

“Semalam dia mula sedar dan sudah boleh bercakap. Namun, tubuhnya masih sangat lemah serta kurang bertenaga," katanya.

Khalis yang juga adik kepada Allahyarham Achik Spin dan abang kepada penyanyi, Tajul Ariff pernah popular dengan lagu Semakin Rindu pada 2017. Video muzik lagu itu di YouTube sudah mencatat 10 juta tontonan.

#Penyanyi #Sakit #Tajul #Buatan Orang #Khalis
;