Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhasrat untuk mengadakan persembahan di Sydney Opera House, Australia.

Menurut Siti, dia sudah lama mengimpikan perkara tersebut namun masih belum berpeluang untuk melakukannya.

"Bercakap mengenai tempat idaman saya untuk mengadakan persembahan selepas di Royal Albert Hall, London, saya sangat teringin untuk membuat persembahan di Sydney Opera House, Australia.

"Tempat itu sudah lama menjadi impian saya, dan saya pasti sudah tentu ramai penyanyi lain yang ingin mengadakan persembahan disitu.

"Namun begitu, jika hasrat saya ini tidak kesampaian, tidak mengapa, tak salah untuk bercita-cita," ujar Siti kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Anta Permana ini akan mengadakan konsert jelajah Siti Nurhaliza On Tour, ia akan bermula pada 21 Februari di Indonesia, 2 Mac di Singapura, 16 Mac di Kuala Lumpur dan 22 April di Royal Albert Hall, London.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket konsert ini (selain Royal Albert Hall), sila layari www.myticket.asia.