Pelakon dan penyampai radio, Anas Ridzuan mengakui sedia untuk mengubah penampilan jika tawaran yang diberikan berbaloi.

Menurut Anas, 28, dia sanggup memotong rambut afro dan membina otot badan untuk menghidupkan watak yang diberikan dalam sesebuah filem ataupun drama.

"Sebagai seorang anak seni saya bersedia untuk mengubah imej serta membotakkan kepala dalam menghidupkan watak yang diberikan oleh pengarah.

"Jika itu merupakan kehendak watak saya sanggup lakukan asalkan tawaran yang diberikan berbaloi dan sesuai dengan perubahan yang dilakukan oleh saya.

"Buat masa sekarang saya masih kekalkan imej afro kerana tawaran yang diberikan tidak memerlukan saya untuk mengubah imej.

"Kalau boleh saya ingin membawa pelbagai watak kerana sebagai seorang anak seni saya harus memberikan kelainan dalam watak yang diberikan," katanya kepada Astro Gempak.

Anas berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pelancaran Filem Busker, di Bentley Music, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Anas, filem Busker turut dibintangi oleh Hafeez Mikail, Daiyan Trisha, Bulan dan Mas Khan.

Filem arahan Syed Khairul Fariz ini bakal ditayangkan dipawagam bermula 11 Januari 2018.

Teks: Rozaimi Zubaidi