Nusantara
"Saya Sangka Ia Berita Palsu... Tak Mungkinlah" - Fazura Terduduk Tahu Berita Kematian Ashraf Sinclair
Pelakon cantik Nur Fazura terkejut apabila mendapat perkhabaran mengenai kematian sahabat baiknya, Ashraf Sinclair pada Selasa.
Kata Fazura, dia hampir tidak percaya bahawa berita yang diterimanya itu betul.
"Mendengar perkhabaran itu, saya terus menyangka ia berita palsu. Tak mungkin... Saya fikir.
"Tetapi apabila diberitahu Doddy (pengurus Bunga) mengesahkannya, saya terduduk dan menangis sambil terus teringat kenangan bersama arwah dahulu," katanya yang mengambil masa seharian untuk menerima kenyataan Ashraf sudah tiada.
Fazura yang pernah bergandingan dengan Ashraf dalam filem Gol & Gincu sebelum ini menyifatkan kematian Ashraf satu kehilangan besar.
"Dari set penggambaran, kami menjadi rakan bisnes sampailah arwah bertemu cintanya dan memutuskan mahu berkahwin.
"Saya tak akan lupa cahaya di mata arwah apabila dia bercerita mengenai Bunga (Bunga Citra Lestari), bagaimana dia dilamun cinta dan keseronokan untuk membuat lamaran.
"Ashraf adalah insan berhati mulia yang mempunyai empati terhadap insan lain dan aura positif yang mampu menerangi segenap ruang.
"Kesedihan saya cuma secebis jika nak dibandingkan apa yang dilalui keluarga Ashraf terutamanya Bunga. Kenangan antara kalian membuatkan saya menangis.
"Saya doakan kamu beroleh Husnul Khatimah dan Allah mengurniakan tempat yang indah di Jannah," ujarnya.
Dalam filem Gol & Gincu yang ditayangkan pada Ogos 2005, Fazura melakonkan watak Putri manakala Ashraf mendukung peranan Eddy.
Ashraf menghembuskan nafas terakhir di Jakarta, Indonesia akibat serangan jantung pada Selasa.
Must-Watch Video