Saya Sayang Sangat Pada Tok - Catatan Menyentuh Hati Cucuanda Almarhum Sultan Kedah

Fiza Kamarudin
September 11, 2017 12:21 MYT
“Saya sayang sangat pada Tok; Tuanku ialah Sultan selamanya bagi saya. Al-Fatihah," itu antara catatan menyentuh hati Cucunda Almarhum Sultan Kedah, Raja Sarina Iskandar di laman sosial.
Raja Sarina telah memuat naik posting mengenai Almarhum nendanya itu di Instagram.
Baginda disahkan mangkat pada pukul 2.30 petang, Isnin.
Melalui posting Instagram tersebut, Raja Sarina berkata, Kedah dan Malaysia telah "kehilangan salah seorang raja terhebat".
Raja Sarina yang merupakan graduan bidang kewartawanan turut menceritakan bagaimana dia melihat Tuanku Abdul Halim menagguhkan waktu makan untuk berlatih membaca titah atau ketika bekerja di pejabatnya.
"Siapakah orang yang berumur 80 tahun ke atas yang akan berbuat sebegitu? Kebanyakan daripada kita mengimpikan untuk bersara ketika berumur 50 tahun sekiranya boleh! Tapi Tuanku tidak boleh berbuat begitu sekalipun Tuanku mahu.
"Dan kadang-kadang tidak ramai orang tahu bahawa Tuanku sedang gering, tapi Tuanku masih meneruskan tugas sebagai Agong dan Sultan," katanya.
Tambahnya, Tuanku Abdul Halim turut pernah meninggalkan hospital untuk menghadiri majlis-majlis rasmi.
"Sekiranya boleh, Tuanku akan meninggalkan wad dan saya menonton di televisyen, melihat Tuanku beramah mesra dengan Perdana Menteri, para Menteri dan rakyat seperti biasa.
"Tapi, sebaik sahaja majlis itu tamat, Tuanku akan pulang ke wad hospital dengan tiub yang berselirat di badan. Walaupun gering, Tuanku tetap akan menepati masa. Tuanku tidak akan biarkan sesiapa menunggu," katanya.
"Inilah sisi seorang Raja (Tuanku) yang tiada siapa tahu. Tuanku tidak hanya bersemayam di atas takhta sambil menikmati kekayaan biarpun apa yang orang ramai fikir.
"Ada pengorbanan yang terpaksa dilakukan kerana Tuanku tidak boleh memiliki kehidupan yang normal. Tiada privasi dan jadual harian yang normal. Status Tuanku adalah amanah daripada Allah," katanya.
Tambah Raja Sarina, segelintir orang sukar memaafkan apabila terdapat pemimpin yang melakukan kesilapan, "dan 'Tok' saya akan selalu pastikan bahawa dia telah lakukan yang terbaik.
"Apabila saya memberitahu kepadanya bahawa ada blog atau seseorang menghina Baginda, Tuanku tidak pernah murka. Baginda sungguh tenang dan bertitah: "Saya sudah lakukan yang terbaik."
"Tuanku telah lakukan yang terbaik dan lebih daripada itu dalam seluruh hidup Tok. Saya boleh menjadi puteri yang baik kerana tunjuk ajar Tuanku. Saya sayang sangat pada Tok; Tuanku ialah Sultan selamanya bagi saya. Al-Fatihah," luahnya.
#Berita Terkini #Berita #Sultan Kedah Mangkat