Menafikan mereka sedang menyulam cinta, pelakon Uqasha Senrose menjelaskan keadaan sebenar tentang hubungannya dengan aktor Ben Amir.

Sebelum ini, peminat mula berspekulasi dan mendakwa Uqasha dan Ben sedang menjalin hubungan cinta selepas mereka sering memuat naik foto bersama.

BACA: Kerap Muat Naik Foto Bersama, Peminat Spekulasi Uqasha Senrose & Ben Amir Bercinta

"Saya akui, buat masa sekarang saya sedang cuba mengenali dan berkawan dengan Ben. Kami berdua rapat dan sedang kenal hati budi masing-masing.

"Seperti manusia yang lain, saya cuma berkenalan dan berkawan dengan dia. Sudah hampir sembilan bulan saya berdiam sahaja.

"Saya terfikir, apa salahnya jika saya berkawan dengan seseorang. Saya tak jangka ia terjadi, tiada 'plan' langsung untuk bertemu dengan Ben semula dan rapat dengannya. Saya selesa berkawan dengan Ben," katanya.

Tambah Uqasha, dia sudah lama mengenali Ben dan pernah berlakon bersama dalam satu naskah.

"Saya dah lama berkenalan dengan Ben. Saya pernah berlakon bersama Ben pada tahun 2013. Kami mula berkenalan ketika itu, tetapi tidak rapat.

"Baru-baru ini, adik saya, Nelydia Senrose berlakon bersama Ben dalam drama bersiri Cinta Tiada Ganti.

"Saya ke set penggambaran Nelydia untuk menjemputnya kerana Nelydia tidak membawa kenderaan pada ketika itu. Semenjak kejadian terbabit, saya bertemu semula dengan Ben dan kami mula berkawan rapat," katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Hantu Kak Limah di MMCineplex, e@Curve malam tadi.

Menerusi filem tersebut, Uqasha meluahkan rasa teruja bekerjasama dengan pengarah Mamat Khalid.



"Alhamdulillah, saya menantikan filem ini dan menganggap tawaran untuk berlakon dalam filem arahan Mamat Khalid sebagai satu peluang keemasan.

"Saya sangat 'enjoy' membintangi filem ini dan sudah tidak sabar mahu menantikan reaksi penonton di pawagam," katanya.

Hantu Kak Limah yang diterbitkan oleh Astro Shaw dan Infinitus Gold ini turut menampilkan Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Sabri Yunus dan ramai lagi ini akan menemui penonton pada 9 Ogos ini!

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Uqasha