Finalis Hero Remaja, Meerqeen menceritakan pengalaman berlakon bersama beberapa orang pelakon senior yang dikaguminya.

Menurut Meerqeen, dia bersyukur kerana berpeluang untuk berlakon bersama Nora Danish, Azhan Rani, Achey dan ramai lagi dalam telemovie Kelaster.

"Terus terang saya katakakan, sayalah sekecil-kecil umat jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon senior dalam telemovie ini.

"Apapun, saya sangat bersyukur dan gembira kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan Nora Danish, Achey dan Azhan Rani dalam telemovie Kelaster," katanya kepada Gempak.

Tambah Meerqeen, untuk menyesuaikan diri bersama pelakon yang lebih berpengalaman, dia harus sentiasa menjadi diri sendiri dan menghormati orang lain.

"Saya masih baru, banyak perkara yang harus saya pelajari dalam industri ini.

"Bagi saya, untuk menyesuaikan diri dengan para pelakon ataupun sesiapa sahaja, saya harus sentiasa menjadi diri sendiri dan menghormati mereka.

"Kalau dalam soal kerja, sudah tentu akan melibatkan masa orang lain, jadi saya merasakan amat penting untuk saya menghormati masa orang lain dan tidak menyusahkan sesiapa," tambahnya.

Difahamkan, telemovie Kelaster arahan Razif Ajiboy itu akan menemui penonton menerusi Astro First.

Di pentas akhir Hero Remaja 2020 minggu lalu, Meerqeen telah menduduki tempat ketiga.

Naib juara disandang oleh Umar, manakala Nadhir berjaya menduduki tempat pertama.

Jabir dan Haziq pula masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima.