Vokalis kumpulan Floor 88 Ayie mengakui takut untuk berjumpa dengan doktor pakar untuk pemeriksaan susulan selepas kejadian pitam sewaktu membuat persembahan minggu lalu.

Menurut Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, 23, pihak pengurusan dan ahli keluarga turut menyarankan agar dia mendapatkan nasihat doktor pakar selepas didapati mengalami masalah terlalu penat dan kurang air.

“Alhamdullilah kesihatan sekarang semakin pulih kecuali tekak saya masih lagi sakit. Dua minggu sebelum kejadian tu saya ada ke klinik untuk periksa masalah tekak. Doktor pun minta saya rehat dalam tempoh masa seminggu. Sampai sekarang saya bergantung pada ubat sakit tekak, ubat batuk, ubat selsema dan antibiotik.

“Plan nak jumpa doktor pakar tu memang ada tapi belum sampai lagi sebab saya penakut sikit. Tapi pihak pengurusan dan ahli keluarga pun dah minta untuk saya jumpa dengan doktor pakar untuk rawatan selanjutnya.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ni pihak pengurusan akan bawa saya dapatkan rawatan,” ujar Ayie kepada Gempak.

Ayie ditemui di Anugerah Digital Muzik Era yang diadakan di Battle Arena, Petaling Jaya pada Jumaat.

Menceritakan kejadian yang berlaku ketika mereka mengadakan persembahan, mereka hanya sempat membuat dua persembahan berbanding empat buah lagu seperti yang sudah dipersetujui.

“Sewaktu konsert, secara tiba-tiba kepala saya sakit, suara pun serak tapi saya tetap push. Secara keseluruhannya kami kena perform empat lagu, lagu pertama Zalikha saya mampu bawa. Lepas tu ada break sekejap untuk saya bersembang dengan crowd.

“Seterusnya adalah lagu Aqilah. Waktu tu saya push lagi sampailah satu tahap kepala berdenyut, pandangan saya jadi hitam dan saya pitam.

“Saya masih sedar waktu tu cuma berat nak bangun. Bila dah bawa ke belakang pentas, kebetulan ada seorang jururawat periksa dan dia beritahu saya kurang rehat dan air.

“Malam tu saya rasa macam boleh buat tapi walaupun saya paksa diri, memang tak boleh dah,” jelas Ayie lagi.

Pada kejadian minggu lalu, Ayie mengejutkan peminat apabila rebah ketika membuat persembahan di Konsert Gempak Negeri.fm sempena meraikan Hari Keputeraan Ke-72 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di padang awam Seri Menanti, Kuala Pilah.

Turut mengadakan persembahan ialah Sissy Imann, Ara Johari, Waty, Nen Tebabo dan Syafiq Azrul Zafri.