HIBURAN
“Saya Sering Dicurangi, Sakitnya Menusuk Hati” – Davina Karamoy Pernah Buat Akaun Palsu, Bongkar Kecurangan Teman Lelaki
Pelakon Indonesia, Davina Karamoy mengakui pernah dicurangi beberapa kali ketika di dalam hubungan percintaannya yang lalu.
Bintang filem Ipar Adalah Maut itu berkongsi kisah tersebut ketika muncul sebagai tetamu dalam podcast YouTube, HAS Creative yang dihoskan oleh Gofar Hilman, baru-baru ini.
Kongsi Davina, dia bukanlah wanita yang suka menyiasat pasangan apatah lagi memeriksa telefon teman lelakinya semasa bercinta.
“Dulu saya sering dicurangi oleh lelaki. Malah saya pelik dengan orang yang tak pernah dikhianati. Saya fikir semua orang pernah melalui perkara itu.
“Saya memang jenis yang tak suka menyiasat. Sepanjang bercinta dengan bekas-bekas kekasih saya, saya tak pernah minta nak tengok telefon mereka,” jelasnya.
Bagaimanapun, segalanya berubah selepas dia mendapat petunjuk dan secara tidak sengaja berjaya membongkar kecurangan kekasihnya menerusi satu akaun palsu di Instagram.
“Dua, tiga tahun lalu saya buat akaun palsu dan cari Instagram seorang perempuan yang saya curigai. Masa tu, bekas teman lelaki saya kata dia tengah bersenam dan nak ke pusat beli-belah dengan kawan-kawan.
“Bila saya tengok Insta Story perempuan tu, memang betul dia ada di gelanggang tempat kekasih saya bersenam. Tak lama kemudian, muncul pula Story mereka di pusat beli-belah yang sama,” katanya.
Enggan terus dipermainkan, Davina mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan tersebut serta-merta.
“Saya terus rasa ‘deg’… macam sakit sangat sampai menusuk ke hati. Lagi-lagi bila saya sendiri yang cari tahu, jadi lebih perit. Memang saya dah rasa tak sedap hati dengan perempuan tu sebelum ni.
“Saya cakap, kalau awak dah menipu macam ni, maknanya awak sendiri yang tunjukkan pada saya yang kita memang tak sepatutnya bersama. Jadi saya terus putuskan masa tu juga,” katanya lagi.
Sumber: Youtube HAS Creative
Must-Watch Video