Pelakon Shenty Feliziana menjelaskan sebab kenapa dia memilih nama Biru Abiyyu Yusuf untuk anaknya yang dilahirkan pada Julai baru-baru ini.
Menurut Shenty, dia dan suaminya, pelakon Reuben Elishama percaya bahawa warna biru melambangkan ketenangan.

"Saya dan suami menamakan anak kami Biru kerana percaya warna biru melambangkan ketenangan, selain itu ia juga satu warna yang membangkitkan keyakinan.

"Sewaktu hamil, saya banyak membelek buku yang memberi inspirasi," kata Shenty kepada Gempak.

Dalam pada itu, Shenty bersyukur kerana Biru dikurniakan kesihatan yang baik sejak hari pertama dilahirkan.

"Alhamdulillah, Biru berada dalam keadaan sihat, namun buat masa ini saya harus membawanya bersama saya ke tempat yang saya pergi memandangkan umurnya yang masih kurang tiga bulan," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Shenty bakal tampil dengan filem terbaru lakonannya iaitu Dendam Pontianak.

Selain Shenty, filem Dendam Pontianak yang diedarkan secara rasmi oleh Primeworks Studios itu turut menampilkan Nur Fazura, Remy Ishak, Hisyam Hamid, Namron, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara bermula 12 September ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!