“Saya Sudah Memaafkan, Tetapi Untuk Melupakan…” - Bella Astillah
Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah menjelaskan dirinya sudah memaafkan aktres, Sophia Albarakbah yang menjadi orang ketiga dan punca keretakan rumah tangganya bersama suami, Aliff Aziz.
Bagaimana pun, kata Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, untuk dia melupakan isu tersebut bukan satu hal yang mudah.
“Saya hanya seorang manusia biasa, saya percaya tak semua orang akan menyukai diri ini dan begitu juga sebaliknya, tidak semua orang saya suka.
“Untuk saya perbaiki rumah tangga dan sentiasa merasa tenang dalam diri, saya sudah memaafkan dia. Tetapi, untuk melupakan apa yang dia sudah buat itu bukan hal yang mudah,” katanya kepada Gempak.
Bella berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia yang turut meraikan Ramadan bersama pelajar tahfiz Darus Syabab yang diadakan di Hotel Royal, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, anak kelahiran Sabah itu berkata, dirinya kini banyak melakukan aktiviti bersama keluarga agar dapat melupakan masalah tersebut.
Malah, dia berharap agar dugaan yang menimpanya dan suami sebelum ini tidak akan berulang lagi kelak.
“Macam mana cara saya untuk melupakan kisah itu, saya sibukkan diri dengan banyak melakukan aktiviti berfaedah bersama suami dan anak-anak.
“Dengan harapan selepas ini tiada lagi masalah sebegini. Bagaimana pun, siapa saya untuk lari daripada masalah jika Allah sudah takdirkan sebagai ujian untuk saya.
“Walaupun ada masanya saya rasa agak takut jika berdepan dengan situasi begitu lagi, apa-apan semoga baik-baiknya tiada lagi masalah,” tambahnya.
Terdahulu, Bella menerusi satu hantaran di Instagram mendedahkan pelakon Sophia merupakan ‘heroin’ yang didakwa mengganggu rumah tangga dia dan suami.
Sophia didakwa mula menjadi penganggu rumah tangga pasangan itu apabila dia dan Aliff digandingkan dalam sebuah drama.
Untuk info, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun mereka disahkan bercerai pada 16 Mei 2019 disebabkan Aliff berlaku curang beberapa kali.
Pasangan itu kemudian merujuk semula dalam tempoh edah. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohammad Ayden Adrean, 5, dan Ara Adreanna, 2.