HIBURAN

"Saya Tahu Kalau Orang Miskin Nak Lawan Orang Kaya Endingnya Macam Mana" - Mamak Puteh Buat Laporan Polis Tuntut Bayaran Tertunggak Stesen TV

Asyraf Roslan 05/08/2025 | 04:25 MYT
Pelakon dan pelawak, Mamak Puteh membuat laporan polis selepas berbulan-bulan tidak mendapat pembayaran tertunggak daripada sebuah stesen TV, Awesome TV.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Mamak Puteh atau nama lengkapnya Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad menjelaskan sudah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan bayaran tersebut namun gagal.

“Alhamdulillah, report polis dah dibuat dan ini adalah usaha terakhir saya dalam menuntut bayaran yang telah lama tertangguh daripada pihak Awesome TV.

“Sebelum ini bermacam cara telah dibuat..kol berpuluh Kali..watsap bertahun.. perbincangan sudah merayu pun sudah masih Tak dapat bayaran. Perbincangan untuk buat bayaran secara ansuran pun sudah, segala email sudah dihantar tapi masih tiada bayaran diterima,” tulisnya.

Dalam pada itu, Mamak Puteh akui kecewa dengan pelbagai janji manis telah diberikan oleh pihak Awesome TV.

“Bermacam janji telah diberikan dari pihak Awesome TV, masih tak dapat bayaran. Apa lagi yang harus dibuat?

“Saya tahu kalau orang miskin nak lawan dengan orang kaya, endingnya kita tahu siapa yang kalah sebab semuanya bergantung kepada duit,” tambahnya.

Di akhir perkongsiannya, Mamak Puteh berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan memberikan keadilan sewajarnya buat dirinya dan golongan yang senasib.

Terdahulu, pelawak Amir Raja Lawak turut menuntut bayaran tertunggak sebanyak RM18,000 daripada stesen TV yang sama.


Menerusi perkongsian di IG, Amir memberitahu jumlah sebenar yang perlu dibayar adalah RM23,000 namun dia hanya menerima RM5,000 sahaja pada awal tahun lalu.

#Mamak Puteh #Awesome TV #Bayaran Tertunggak