"Saya Tak Bertunang Atau Berkahwin Pun, Tapi ..." - Daiyan Trisha Mohon Maaf

Amri Hassan
Ogos 19, 2018 06:37 MYT
Pelakon dan penyanyi jelita, Daiyan Trisha memohon maaf atas kekeliruan khabar angin yang mendakwa dirinya bakal mendirikan rumah tangga hari ini.
Jelas Daiyan, foto yang tersebar di Internet sebenarnya gambar untuk single terbaharunya, Langit.
"Saya sama sekali tidak menjangkakan kisah foto saya memakai gaun perkahwinan meleret sampai begini.
"Keluarga dan sahabat baik saya sendiri pun keliru, begitu juga rakan-rakan media dan wartawan.
"Bukan niat saya sama sekali untuk menjadikan perkara ini kecoh, saya dengan rendah diri memohon maaf atas kekeliruan ini dan mungkin membuatkan ada antaranya sakit jantung!
"Sudah tentu saya mahu berkahwin pada masa akan datang tetapi saya belum bertemu insan yang tepat. Doakan jodoh saya satu hari nanti okey," tulisnya di Instagram.
Foto dirinya memakai gaun pengantin dipilih untuk meraikan cinta sempena singlenya berjudul Langit.
"Ini merupakan gambar-gambar saya untuk cover single baharu saya, Langit sempena meraikan cinta.
"Apabila menulis lagu ini, kami membayangkan ianya sebuah lagu untuk majlis perkahwinan, ulangtahun perkahwinan, melamar dan sebagainya.
"Saya mahu lagu ini didedikasikan kepada insan yang paling kita cintai dalam hidup. Jadilah ia konsep 'on my wedding day'," tambah Daiyan.
Single Langit boleh didengar di semua platform digital mulai hari ini.
#Kahwin #Viral #Daiyan Trisha #Kahwin #Daiyan Trisha #Viral #Langit