Hiburan
Saya Tak Bodek Penerbit Untuk Dapat Tawaran Berlakon - Redza Rosli
Pelakon baru, Redza Rosli menafikan membodek penerbit untuk mendapatkan sesuatu tawaran.
"Saya tidak pernah membodek mana-mana penerbit untuk mendapat tawaran lakonan sesuatu drama. Alhamdulillah, semenjak saya serius berlakon hampir tiga tahun ini, rezeki berlakon tidak putus.
"Saya hanya menjalankan tugas saya dengan bersungguh-sungguh dan memberikan sepenuh perhatian terhadap sesuatu watak yang diberikan. Saya mementingkan kualiti kerja," kata Redza kepada Astro Gempak.
Redza turut menjawab dakwaan yang mengatakan Redza merupakan anak emas kepada Zeel Production kerana dirinya sering berlakon dalam drama bersiri dan telefilem terbitan syarikat produksi itu.
"Saya bukan anak emas Zeel Production atau syarikat produksi lain. Saya mementingkan tawaran mana yang datang dahulu.
"Jika sesebuah syarikat produksi itu sudah 'lock' dahulu tarikh saya, pastinya saya akan menolak tawaran yang lain. Saya ambil tawaran mana yang datang dahulu.
"Zeel Production pula sering 'lock' tarikh saya dengan lebih awal. Jadi secara tidak sengaja, orang lain nampak saya sering berlakon di bawah produksi mereka.
"Tapi, saya ingin jelaskan yang saya bukan anak emas Zeel Production dan boleh berlakon di mana-mana syarikat produksi yang lain," katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2016 (ASK 2016) pada Rabu.
Drama bersiri lakonan Redza bersama Amyra Rosli dan Saharul Ridzwan, Seindah Takdir Cinta tercalon kategori Drama Rantaian Terbaik.
ASK 2016 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 November ini, bermula jam 9.00 malam di TV3.
Teks Oleh: Kamaruddin Razal