Laman Utama
"Saya Tak Boleh Bernafas" - Ratu Cantik Vivienna Alfred Panik Tangki Oksigen Tak Berfungsi Ketika Diving!
Diserang panik kerana tangki oksigen tidak berfungsi secara normal sewaktu menyelam di dasar laut antara pengalaman ngeri buat pengacara juga ratu cantik, Vivienna Alfred atau Vivi sewaktu penggambaran program Deep C.
Vivi, 25, yang juga pemenang tempat kedua Miss Grand Malaysia 2022 berkata setiap penyelam perlu bijak mengendali rasa panik apabila berdepan masalah teknikal sewaktu berada di dasar laut.
“Ada satu hari, tangki oksigen saya tidak berfungsi secara normal sewaktu sudah berada di dasar laut. Saya tidak boleh bernafas sekali gus sangat panik dan mahu cepat-cepat naik ke permukaan laut tanpa ikut prosedur betul.
“Mujur jurulatih selam saya ketika itu sangat profesional menangani situasi terbabit dan segalanya dapat diselesaikan secara baik ketika itu. Memang satu pengalaman yang membuka mata saya,” katanya.
Letih tapi berbaloi
Di sebalik cabaran dan rasa letih, Vivi menyifatkan pengalaman menyelam sehingga dasar laut sangat berbaloi dan menikmati sendiri keajaiban di sudut berbeza dunia adalah pengalaman tidak terbanding harganya.
“Paling menyeronokkan apabila dapat melihat dan mendalami sendiri keunikan makhluk di dasar laut. Setiap lokasi menyelam memiliki keunikannya yang berbeza-beza. Saya tidak sabar penonton melihat sendiri keunikan itu,” katanya.
Persiapan daripada aspek fizikal dan mental dilakukan Vivi sebelum memulakan penggambaran juga dibuat dengan sangat teliti.
“Apabila berada di dasar laut, masa berlalu dengan begitu pantas dan tanpa disedari, kita sudah terlalu letih bila kembali ke permukaan. Sekali menyelam ambil masa sekitar 45 minit dan saya lakukannya sebanyak dua atau tiga kali setiap hari.
“Ada masa, secara mentalnya saya rasa tidak melakukan tugasan itu sebaiknya. Sebagai pengacara, bahkan mana-mana artis, pelakon, selebriti pun kena sentiasa konsisten memberikan hasil kerja terbaik sebaik kamera mula ‘rolling’,” katanya.
Terjunan udara di Dubai
Vivi antara ratu cantik yang sentiasa mengidamkan cabaran lasak untuk diri sendiri malah, minatnya terhadap aktiviti menyelam bertitik-tolak sejak empat tahun lalu selepas mencuba aktiviti terjun udara.
“Pada 2018, saya lakukan terjun udara di Dubai dan ia antara pengalaman paling menyeronokkan dalam hidup saya. Dapat melihat keindahan bumi dari pandangan udara ketika itu sangat menakjubkan.
“Justeru, saya berfikir suatu hari nanti wajib meneroka keindahan dasar laut pula bagi melihat sisi lain dunia pula. Aktiviti menyelam memang sentiasa dalam senarai wajib cuba saya dan akhirnya dapat realisasikannya menerusi Deep C,” katanya.
Deep C program berinformatif
Baginya, Deep C bukan sekadar program ‘kosong’ sebaliknya mampu memberi tunjuk ajar mendalam serta menyumbang sesuatu kepada masyarakat.
Vivi juga berharap Deep C bakal membuka mata ramai bahawa ia bukan sekadar program menyelam semata-mata. Sebaliknya, ia merangkumi banyak aspek yang akan memberi pendidikan seperti melindungi keindahan laut kita.
“Program ini menyeronokkan selain sangat informatif. Ia berkongsi mengenai topik tarikan pelancongan, latar belakang bersejarah, pengalaman mengenai budaya, kesedaran isu tertentu, perubahan iklim, projek perlindungan dan pemulihan berkaitan penjagaan laut,” katanya.
Deep C yang diterbitkan Peak Project mula ditayangkan pada 24 Disember ini, setiap Sabtu, jam 9.30 malam di TV Okey (Astro Saluran 146) sebanyak 13 episod berdurasi 30 minit. Ia berkisar meneroka keindahan dasar laut di Malaysia.
Deep C diarahkan Sherry Sidek, Hafiz Baharuddin (fotografi), Rizal Rahman (skrip), Rizal Busu (audio), Eddy Aidil, Hafiz Razman, Hifzan Asmad (kamera), Mior (penyunting), dan Cloud Pictures Sdn. Bhd. selaku pengurus produksi.
Must-Watch Video