Penyanyi Atilia Haron menegaskan dia tindakannya melakukan aksi yoga di sebuah gedung serbaneka baru-baru ini sempena menyahut cabaran #StopDropYoga.

Kata Atilia, cabaran tersebut dilakukan oleh pengamal yoga seluruh dunia dengan cara melakukan aksi yoga di mana-mana tempat awam secara spontan.

"Sebenarnya ramai yang menyahut cabaran #StopDropYoga cuma masih ada yang kurang jelas tentang perkara tersebut dan apa yang telah saya buat baru-baru ini.

"Aksi saya beryoga di tempat tersebut tidak salah pun dan memanglah nak beryoga dengan baik perlu buka kasut.

"Lagipun, saya berada di tempat itu seawal pukul 9 pagi, baru saja lepas mop. Jadi tidak perlu timbul isu saya pengotor dan sebagainya," katanya kepada Gempak.

Must wear shoes is it?

A post shared by Atilia Haron (@atiliaharon) on


Jelas Atilia, dia terpaksa memadamkan beberapa komen kasar yang ditulis netizen pada video berkenaan bagi mengelakkan salah faham dan isu berlarutan.

"Saya tak suka mencetuskan sesuatu perkara yang tidak elok di ruangan media sosial saya, jadi ada antara komen yang perlu saya tapis.

"Ada yang tegur pasal kenyataan saya tak pakai kasut sebab miskin. Sudah terang-terangan itu ayat sarkastik dan cara saya memang suka bergurau.

"Kalau dalam kalangan keluarga dan kenalan rapat tahulah perkataan 'miskin' itu bukan serius dan merujuk kepada mana-mana pihak.

"Tidak terlintas di fikiran nak sakitkan hati sesiapa sebab perkataan itu saya tuju kepada pihak yang menulis komen terbabit, bukan kenyataan umum," jelas Atilia lagi.

Justeru, Atilia memohon maaf seandainya tindakan terbabit menyinggung mana-mana pihak dan tidak menunjukkan contoh tidak baik.

"Memang ada rasa bersalah selepas memuat naik video berkenaan tetapi sebagai pengamal yoga tak terfikir ia menyinggung sesiapa, aksi itu sekadar untuk hiburan, biar semua orang ceria.

"Daripada melihat sudut negatif, apa kata lihat betapa susahnya saya nak buat 'balancing' itu," kata Atilia lagi.

Terdahulu, sepotong video Atilia melakukan aksi yoga sambil membeli coklat yang dimuat naik di Instagramnya ditegur netizen.