Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Laman Utama

"Saya Tak Henti Berdoa Agar Sajat Pulih Dan Kembali Kepada Fitrah" - Pu Amin

ZULHILMI JALIL 21/01/2021 | 02:50 MYT
Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin memuji tindakan yang diambil pihak berkuasa ke atas usahawan kosmetik sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali dengan nama Nur Sajat berhubung dakwaan salah laku dalam penampilannya yang menyerupai wanita.
Biarpun begitu, kata PU Amin, di sebalik tindakan tegas yang dikenakan ke atas Nur Sajat, jauh di sudut hatinya, dia sering mendoakan agar usahawan tersebut mampu berubah ke jalan yang lebih baik.
"Tahniah Jabatan Agama kerana dah berikan hukuman buat Sajat. Ini bukti bahawa Jabatan Agama tak lemah dan ada kuasa menjaga agama.
"Nasihat, teguran, laporan dan hukuman dah diberikan pada Sajat. Usaha untuk baik pulih dah dilaksana. Saya tak henti berdoa agar Sajat pulih dan kembali kepada fitrah," katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.
Terdahulu, Sajat dilaporkan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada 6 Januari kerana berpakaian menyerupai wanita dalam satu majlis keagamaan yang diadakannya pada 2018.
BACA: Muhammad Sajjad Mengaku Tak Bersalah Berpakaian Wanita Ketika Majlis Bacaan Yasin
Dalam pada itu, kata PU Amin, dia berharap agar Sajat mengambil iktibar dan pengajaran dengan tindakan undang-undang yang dikenakan ke atasnya.
"Apa yang kita lawan dahulu dah dibawa ke meja pengadilan. Apa daya kita lagi. Usaha dah dibuat. Terpulang pada dia untuk berubah.
"Semoga Allah beri petunjuk pada Sajat dan seluruh legasinya. Kita juga berdosa, kita juga hina, tapi jangan kita sebarkan dan tontonkan dosa itu kepada masyarakat," katanya.
Sebelum ini, sebuah video tular memaparkan Sajat ditahan anggota penguatkuasa dari Jabatan Agama Islam Selangor dengan keadaan tangannya digari.
BACA: Apa Punca Tangan Sajat Bergari & Menangis Teresak-esak Ketika Live Instagram?
Sajat didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
#Nur Sajat #Usahawan Kosmetik #Pendakwah #PU Amin #Fitrah
;