Laman Utama
“Saya Tak Hubungi Lan Pet-Pet, Berilah Dia Ruang Dulu…” – Saiful Apek
Pelawak dan pelakon Saiful Apek mengakui tidak tahu menahu mengenai kontroversi melibatkan rakan baiknya, Lan Pet Pet yang tular sehinggalah diberitahu oleh pihak lain.
Apek berkata, dia juga tidak menghubungi sahabatnya itu untuk bertanyakan mengenai perkara tersebut.
“Saya tahu mengenai cerita tersebut pun selepas diberitahu orang lain. Saya juga tidak menghubungi dia sebab saya kenal sahabat saya.
“Saya tak ada hubungi dia untuk bertanya atau apa. Berilah dia ruang, kita tidak tahu apa sebenarnya yang dilalui.
“Saya berkata begini bukan kerana nak ‘back-up’ kawan atau apa, tetapi sebagai orang luar kita tidak seharusnya campur tangan atau terlalu cepat ‘jatuh hukum’.
“Kami (Senario) ini dah macam ahli keluarga. Sejak dulu pun kalau salah seorang ditimpa masalah atau kontroversi, masing-masing akan biar keadaan ‘sejuk’ dulu dan tunggu masa yang sesuai untuk bercakap,” katanya kepada Gempak.
Tambah Apek, sepanjang mengenali Lan Pet-Pet, sahabatnya itu bukan seorang yang panas baran atau cepat melenting.
“Mungkin ada sesuatu yang trigger dia bertindak di luar kawalan. Sebab saya sendiri pun pernah dilemparkan kata-kata tidak sepatutnya oleh haters.
“Tetapi saya berjaya managed dan mungkin itu kekuatan saya berjaya mengelak dan tidak memanjangkan isu. Cara masing-masing untuk mengatasi tekanan.
“Saya rasa fitrah manusia, terlajak melakukan sesuatu yang khilaf. Apapun kami adik-beradik Senario tidak pernah menilai sesama sendiri, kami dah faham sesama sendiri,” katanya.
Apek ditemui pada Malam Aspirasi & Anugerah Vieura 2021 di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi malam tadi (Selasa).
Pada malam Ahad lalu video Lan Pet Pet memukul seorang lelaki dipercayai penghantar makanan menarik perhatian netizen selepas tular di media sosial.
Menerusi video yang dirakam pengguna jalan raya, pelawak dan pelakon popular itu dilihat merangkul leher lelaki terbabit dan memukul kepalanya.
[[BACA: Video Lelaki Dipercayai Pelawak, Pukul Penghantar Makanan]]