Penyanyi Ayu Damit kesala dengan segelintir warganet yang terus-menerus memberikan kecaman kepada dirinya selepas membuat kenyataan belum bersedia untuk membenarkan anak-anaknya mengambil suntikan vaksin.

Ayu berkata, sebelum ini dia menyatakan kebimbangan sekiranya anak-anak yang masih kecil tidak mampu menahan kesakitan selepas suntikan vaksin.

“Ramai yang salah erti kerana membaca tajuk, tanpa melihat dan memahami pada isi berita yang menulis tentang perkara tersebut.

“Sampai ada yang panggil saya antivaksi, gelarkan saya beruk…Kadang-kadang memang melampau sebab baca tajuk terus judge!,” katanya.

Ayu ketika ditemui Gempak baru-baru ini berkata, dia dan suami Syed Fauzi sudah lengkap dua dos suntikan vaksin, cuma untuk anak-anak, mereka mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu.

“Saya dan suami ada berbincang mengenai perkara ini. Memang suntikan vaksin penting untuk melindungi kita semua daripada wabak Covid-19 tetapi buat masa ini kami tangguhkan dahulu.

“Saya bimbang anak tak tahan after effect selepas vaksin tu. Lagi pun kanak-kanak daya imunisasi mereka tidak sekuat orang dewasa.

“Itu sahaja…Bukanlah saya menolak vaksin, jauh sekali antivaksin. Kalau kami suami isteri anti vaksin kami sendiri tak lengkapkan dua dos suntikan.

“Kami perlukan masa untuk lebih teliti dan membuat pertimbangan,” katanya.

Tambah Ayu lagi, anak sulungnya Syed Nasrul yang berusia 12 tahun memiliki masalah kesihatan.

“Kami sudah meminta pandangan dan nasihat doktor mengenai hal tersebut. Doktor juga menasihatkan untuk menangguhkan dahulu sehingga keadaan dia betul-betul okay.

“Dah tentu saya sebagai ibu amat risau kerana anak sulung kami itu ada masalah kesihatan sedikit berbanding adik-beradiknya yang lain. Dia, mudah jatuh sakit dan tidak memiliki antibodi yang kuat.

“Tapi kami akan tetap mendapatkan suntikan vaksin untuk dia, kerana syarat pihak sekolah anak-anak perlu divaksin terlebih dahulu sebelum memulakan sesi pembelajaran.

“Jadi, kami akan benarkan juga dia mengambil vaksin kerana tidak mahu menyukarkan proses pembelajaran anak di sekolah,” katanya.Jadi mungkin kami akan benarkan anak sulung ambil vaksin.

Ayu ditemui pada majlis pelancaran The Royal Wedding Wilqadry & DGS Production di Wilqadry Courtyard Hall, IOI Resort Putrajaya baru-baru ini.

Ayu dan Syed Fauzi mendirikan rumah tangga pada tahun 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syed Nasrul Haikal, 12, Sharifah Alya Aryana, 9, dan Syed Aqif Najmi, 1.