Penyanyi Sarah Suhairi memberitahu bahawa dirinya pernah berdepan dengan situasi mencemaskan apabila akaun Instagram miliknya pernah hampir digodam baru-baru ini.

Begitupun, kata Sarah dia bersyukur apabila akaun yang mempunyai lebih 990,000 pengikut itu berjaya diselamatkan.

“Akaun Instagram saya pernah cuba digodam. Saya terus cepat-cepat menukar kata laluan dan refresh semula akaun.

"Nasib baik akaun saya berjaya diselamatkan. Kalau tidak hampir jadi mangsa godam,” katanya kepada Gempak.

Menurut penyanyi berusia 19 tahun itu, dia juga turut meminta pertolongan daripada sahabat baiknya yang mahir dalam bidang sains komputer.

“Saya ada kawan yang mahir dalam sains komputer. Jadi, dia dapat kesan lokasi dan alamat Internet Protocol (IP) pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

“Cumanya, disebabkan akaun saya selamat, saya tidak mengambil apa-apa tindakan. Akaun saya selamat pun dah lega dah,” katanya.

Sarah memberitahu bahawa akaun Instagram juga merupakan sebahagian daripada sumber pendapatannya.

“Di Instagram sendiri saya mempunyai pelanggan. Pelanggan nak tahu insight daripada setiap posting yang mereka minta.

“Saya tidak kisah setakat nak hilang akaun, tapi disebabkan urusan kerja, saya kena selamatkan. Hal itu yang saya takutkan,” katanya yang kini muncul dengan single berjudul Bicara Rasa bersama Ariff Bahran.