Hiburan
"Saya Tak Kisah Kalah, Asalkan..." - Jamal Abdillah Sedia Sertai AJL
Status senior Datuk Jamal Abdillah sebagai penyanyi yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam industri muzik tidak menghalangnya untuk menyertai pertandingan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).
Kini popular dengan single Belenggu Rindu duet bersama Wany Hasrita, Jamal berbesar hati sekiranya lagu tersebut mendapat peluang untuk ke AJL.
"Kalau lagu itu mempunyai rezeki ke AJL, saya tak kisah dan bersedia untuk beraksi di pentas terbabit. Bagi saya, status sebagai penyanyi senior tidak menghalang saya untuk bertanding.
"Jika single tersebut ada rezeki terpilih, saya akan menyanyi dengan sepenuh hati serta memberikan persembahan istimewa untuk peminat
"Saya tak kisah kalau lagu itu kalah pun, asalkan dapat bertanding memberikan yang terbaik mewakili komposer dan penulis lirik," katanya.
Tambah Jamal, duetnya bersama Wany juga merupakan salah satu cara untuk dirinya dikenali dalam kalangan peminat muda.
"Saya harus berfikir untuk menempatkan diri dalam arena 'mainstream'. Jadi, lagu bersama Wany merupakan salah satu caranya.
"Saya sendiri faham, lagu baru penyanyi senior jarang diputarkan oleh radio. Menerusi duet saya bersama Wany, lagu itu mendapat sambutan dan dimainkan di radio.
"Saya sangat bersyukur dengan perkembangan itu dan perkara terbabit menjadi salah satu cara untuk saya dikenali oleh peminat muda," katanya lagi.
Jamal ditemui di majlis prebiu buffet Ramadan di Hotel Tenera Bangi sebentar tadi.
Hotel Tenera menawarkan hidangan warisan yang menampilkan 200 menu enak bertemakan warisan Melayu.
Bersempena dengan sambutan Ramadan tahun ini, Hotel Tenera turut menawarkan promosi istimewa untuk early bird menikmati hidangan berbuka puasa.
Untuk sebarang informasi lanjut, layari laman Facebook dan Instagram Hotel Tenera.
Must-Watch Video