HIBURAN
“Saya Tak Kutuk Pun, Cuma Nasihat…” – Isu Tiada ‘Killer Song’, Man Bai Dah Jumpa Aina Abdul, Hubungan Kekal Baik
Penyanyi senior, Man Bai tampil memperjelaskan kenyataan yang sebelum ini mengundang reaksi pelbagai apabila menyatakan penyanyi, Aina Abdul belum memiliki lagu ‘killer song’ yang benar-benar ikonik.
Menafikan dakwaan kononnya dia mengkritik secara keterlaluan, Man Bai menjelaskan bahawa dia sudah pun bertemu sendiri dengan Aina baru-baru ini, dan hubungan mereka baik tanpa sebarang salah faham.
“Saya dah jumpa penyanyi tu sendiri. Dia baik dengan saya. Saya suka dia. Dia nyanyi pun bagus. So dia terimalah saya beri nasihat.
“Isu pun dah habis sebenarnya. Dia pun kata dia tak ambil hati. Saya cakap okay je. Tak ada masalah. Lagipun dia kadang-kadang latihan kat studio saya,” ujarnya kepada Gempak ketika ditemui di sidang media Pesta Kuantan 188 2025 di Ramada Suites, pada Selasa.
Bukan Kutuk, Tapi Pandangan Ikhlas
Menurut Man Bai, pandangannya tentang keperluan untuk memiliki ‘killer song’ hanyalah satu nasihat ikhlas, bukan kutukan terhadap bakat Aina.
“Saya cuma cakap, dalam industri ni kita kena ada killer song. Lagu yang betul-betul kuat, yang orang akan ingat sampai 30 tahun.
“Kadang-kadang kita rasa lagu kita sedap, tapi sedap tu mungkin untuk segelintir orang je. Belum tentu boleh jadi lagu yang semua bangsa suka dan jadi evergreen,” kongsinya.
Man Bai turut mencadangkan agar Aina cuba untuk bekerjasama dengan komposer lama dan berpengalaman seperti Dato’ M. Nasir, Fauzi Marzuki dan Manan Ngah bagi mencipta lagu yang lebih melekat di hati pendengar.
“Lagu macam Teringin nyanyian Shima, Diriku Terbelenggu nyanyian Francissca Peter, atau Sejarah Mungkin Berulang daripada Tomok, semua ni contoh killer song.” katanya.
Tambah pelantun lagu Kau Ilhamku itu, Aina merupakan penyanyi berbakat besar, namun pendekatan muzik yang terlalu teknikal mungkin menjadi kekangan untuk mencipta lagu yang benar-benar dekat dengan masyarakat.
“Dia penyanyi yang bagus. Cuma mungkin gaya nyanyian sekarang lebih kepada teknik tinggi-tinggi. Tapi sebenarnya lagu yang lekat di hati orang ramai ialah lagu dengan melodi yang mudah ditangkap,” katanya lagi.
Terdahulu, Man Bai mencetuskan perbincangan hangat selepas menyatakan bahawa meskipun Aina Abdul memiliki kemampuan vokal yang luar biasa, penyanyi itu masih belum memiliki lagu yang benar-benar ikonik untuk dikenang sepanjang zaman.