Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Saya Tak Mahu Kongsi” - Loca B Tutup Rapat Kisah Peribadi & Keluarga

Azwa Rahman
08/01/2021 07:21 MYT
Penyanyi rap Loca B menegaskan dia memilih untuk tidak berkongsi kehidupan peribadi yang melibatkan keluarganya kepada umum.

Menurut Loca, dia bimbang menerima gangguan daripada pihak tertentu jika terlalu berkongsi perihal peribadinya.

"Saya tidak mahu terlalu terbuka berkongsi mengenai kehidupan peribadi kerana ada perkara yang melibatkan keluarga saya yang tidak boleh dikongsikan kepada umum.

"Ada perkara yang memang saya simpan sendiri. Bagi saya, lebih baik saya tidak berkongsi daripada nanti ada pihak yang menganggu.

"Sekarang ini semua orang dah tahu la yang saya ada anak. Orang tak perlu tahu pun cerita yang lebih dalam mengenai kehidupan peribadi saya.

"Saya tak boleh nak kongsi banyak tapi sebelum saya dan Tuju berkahwin, saya adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak," kata Loca B kepada Gempak.

Loca B ditemui ketika majlis sidang media Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Khamis.

Pada 24 November lalu, Tuju ketika muncul di program MeleTOP mengumumkan isterinya selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Bintang Aiko.

Penyanyi rap itu juga mempunyai seorang anak lelaki bernama Yusuf Alezander yang kini berusia lima tahun.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Gila yang baru tamat proses berpantang kini masih mencuba menyesuaikan diri untuk menjadi seorang ibu kembali selepas lima tahun.

"Saya masih tengah nak susun semula jadual kerjaya dan keluarga tapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Sebab sekarang pun saya hanya fokus pada AJL.

"Bagi saya, kelahiran baby kali ini lain sebab saya dapat rasa menjadi seorang ibu semula. Kena belajar semula perkara asas sebagai seorang ibu.

"Sekarang saya bekerja, jadi agak sibuk. Ada masa bila kerja, saya dapat masa untuk diri sendiri. Bila di rumah, saya galas tanggungawab sebagai seorang ibu pula," ujarnya lagi.
#Pasangan selebriti #Loca B #Tuju
;