Hiburan
"Saya Tak Mahu Terburu-Buru" - Bercinta 11 Tahun, Shiha Zikir Belum Sedia Kahwin?
Penyanyi dan bintang Dansa Dan Sing, Shiha Zikir tidak mahu terburu-buru dalam soal perkahwinan meskipun sudah 11 tahun bercinta dengan seorang jejaka yang dikenali sebagai Arul.
Menurut Shiha, 33, dia selesa memiliki seorang teman lelaki yang sentiasa memberi sokongan terhadap penglibatannya dalam industri hiburan.
"Saya tak mahu terburu-buru dalam soal perkahwinan kerana Tuhan telah menetapkan segalanya, saya pun ada usaha juga.
"Kami berkawan sudah 11 tahun, dia sentiasa memberi sokongan terhadap penglibatan saya dalam industri hiburan, untuk tahun 2020 ini, dia mahu saya tumpukan perhatian dalam karier saya.
"Perkara itu membuatkan saya lega kerana dia tidak menggesa saya untuk berkahwin dengan cepat," kata Shiha kepada Gempak baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir ini menambah, dia tidak mahu merancang secara berlebihan, sebaliknya hanya menunggu masa yang sesuai.
"Saya tak mahu terlalu merancang, kadang-kadang apa yang kita rancang itu tidak menjadi, jadi saya hanya 'go with the flow' sahaja.
"Saya memang berniat untuk mendirikan rumah tangga, tetapi masih belum tiba masanya setakat ini," ujarnya lagi.
Dalam konsert akhir Dansa Dan Sing yang berlangsung pada 23 Februari lalu, Shiha & Team Squad telah memenangi tempat ketiga.
Mereka telah berentap bersama lima finalis lain iaitu Sophia Liana & Budak Ngam (juara), Chubb-E & Zeppo Youngsterz Crew (naib juara), Wani Kayrie & Delitz (tempat keempat), Waris & Alamak (tempat kelima) dan Raja Syahiran & 2Twenty2 Squad (tempat keenam).
Must-Watch Video