"Saya Tak Main Pintu Belakang!" - Nabil Ahmad

Kamaruddin Razal
Jun 7, 2018 01:30 MYT
Selebriti serba boleh, Nabil Ahmad menafikan dia menggunakan pintu belakang atau menggunakan 'cable' untuk menerbitkan filem televisyen (FTV) yang berjudul The Hantus yang bakal bersiaran di Astro First Eksklusif.
"Memang saya baik dengan pihak Astro. Bahkan, Astro menjadi tempat saya mencari rezeki sebagai pengacara, pelakon, pelawak dan penyampai radio.
"Namun begitu, saya menggunakan saluran yang sah untuk menerbitkan The Hantus. Bermula dari sesi pembentangan idea, sesi penggambaran, produksi sehinggalah FTV ini bakal ditayangkan, semuanya dilakukan dengan betul.
"Jika karya saya tidak bagus, semestinya pihak Astro tak menerima karya ini untuk disiarkan di Astro First Eksklusif," katanya.
Tambah Nabil, dia sangat serius dalam mengembangkan kerjayanya sebagai penerbit dan mahu perkara ini mencipta kejayaan.
"FTV The Hantus ini menjadi titik tolak untuk saya mengembangkan lagi perjalanan saya dalam bidang seni. Bukan setakat penerbit, saya juga menulis sendiri skrip karya ini dan The Hantus juga menjadi karya yang saya arahkan bersama Helmi Yusof.
"Saya menggarap cerita komedi seram yang diinspirasikan dari kisah hantu seram, popular dan viral termasuklah cerita Volkswagen Kuning, Hantu Kak Limah dan Kisah Taman Mimaland," katanya ketika ditemui di majlis tayangan The Hantus di Wow KL, Matic Jalan Ampang semalam.
The Hantus yang menampilkan Alif Satar, Faizal Hussein, Hannah Delisha, Khatijah Tan dan ramai lagi ini bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 bermula 1 Syawal ini (15 Jun 2018).
Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton The Hantus dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, The Hantus juga boleh disaksikan menerusi platform digital 'on demand'.
Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Nabil
#Nabil Ahmad #Astro First Eksklusif #The Hantus