Laman Utama
“Saya Tak Malu Mengaku Kurang Pengetahuan…” – Ayu Damit Ambil Ijazah
Penyanyi Ayu Damit mengakui sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam program Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Tambahnya, dia menerima tawaran tersebut pada bulan lalu dan sedang mengikuti sesi pengajian yang bermula sejak 2 Ogos lalu.
“Alhamdulillah saya kira ini satu peluang yang sukar untuk dilepaskan. Sebelum mengikuti pengajian dalam program Asasi Seni Kreatif, saya terlebih dulu menghadiri sesi temu duga.
“Syukur, saya diterima dan tempoh pengajian selama tiga semester (setahun). Insha-Allah doakan semuanya dipermudahkan,” katanya.
Ayu berkata dia tidak malu mengaku kurang pengetahuan serta asas dalam hal berkaitan dengan muzik.
“Saya tak malu untuk mengaku diri ini kurang pengetahuan serta asas dalam hal berkaitan dengan muzik.
“Main nyanyi sahaja sebelum ini. Paling tidak, bila belajar sekurang-kurangnya ilmu yang dipelajari itu boleh diaplikasikan dalam kerjaya seni saya selepas ini.
“Sebenarnya dah lama saya pasang impian ini tetapi rasanya sekarang adalah waktu paling sesuai. Aktiviti bisnes pun dilakukan dari rumah.
“Jadi saya fikir mengapa tidak untuk saya ambil peluang,” katanya.
Ayu pada masa sama turut menerima sokongan penuh dari suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin.
“Suami tidak menghalang, sebaliknya dia yang paling banyak beri kata semangat. Cuma pesannya, perlu pandai membahagikan masa.
“Iyalah, kami sama-sama ada bisnes dan dia pun tahu saya ada beberapa bisnes lain yang dilakukan sekarang. Mana nak uruskan perniagaan kek pisang, kuih bahulu dan ladang cilikan?
“Saya pun perlu uruskan keluarga dan anak-anak. Bagaimanapun setakat ini semuanya berjalan lancar. Kek pisang pun saya siapkan mengikut jumlah tempahan,” katanya.