HIBURAN
“Saya Tak Masuk Campur, Tapi Fattah Amin Seorang Yang Baik” – Bell Ngasri
Pelakon dan pelawak, Bell Ngasri berkongsi pengalaman bekerjasama dengan pelakon Fattah Amin ketika terlibat dalam sebuah projek drama yang menjalani penggambaran di New Zealand.
Menurut Bell, sepanjang tempoh berada di sana, dia melihat Fattah sebagai seorang pelakon yang sangat berdedikasi dan komited dengan wataknya walaupun pada masa sama sedang berdepan isu peribadi.
“Saya nak cakap, dia sebenarnya seorang yang baik.
“Kalau mungkin ada orang kata, ‘Ah, Bell pun samalah. Bell jahat sebab kata dia baik,’ saya tak tahu nak jawab apa. Tapi itu sahaja yang saya boleh katakan berdasarkan apa yang saya lihat dan alami sendiri,” ujar Bell ketika ditemui Gempak.
Bell berkata demikian ketika diminta mengulas pengalaman bekerjasama dengan Fattah yang pada waktu sama menjadi perbualan hangat netizen kerana tidak hadir ke persembahan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, baru-baru ini.
Pilih hormat ruang peribadi Fattah
Tambah Bell, walaupun isu ketiadaan Fattah di persembahan anaknya menjadi bualan ramai, dia enggan mencampuri hal tersebut dan hanya menilai Fattah berdasarkan interaksi profesional mereka sepanjang penggambaran.
“Itu semua hal peribadi dia. Saya dengan dia bekerjasama, jadi saya tahu apa yang dia tengah buat. Bukannya dia pergi berfoya-foya atau berseronok ke mana-mana. Dia buat kerja.
“Ya Allah, saya sebenarnya rasa kasihan. Kadang-kadang orang kecam tanpa tahu cerita sebenar. Mungkin mereka hanya dengar dari sebelah pihak saja. Tapi yang saya tahu dan saya boleh cakap dengan yakin, dia seorang yang baik.
“Itu saja yang saya boleh katakan. Pandai-pandailah sendiri nak rasa dan fikirkan apa yang saya cakap,” katanya.
Terdahulu, Fattah menerima kecaman selepas tiada kelibatnya di acara persembahan sekolah anak perempuannya bersama bekas isteri, Nur Fazura.
Pelakon itu kemudian tampil memohon maaf kepada anaknya dan menjelaskan ketika itu dia sedang menjalani penggambaran di luar negara.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 5.