“Saya Tak Nampak Sesiapa Selain Dia” - Abubakarxli Pilih Shalma Eliana, Muncul Dengan Naik
Mya Amri
09/06/2021 03:26 MYT
09/06/2021 03:26 MYT
Penyanyi rap berbakat besar, Abubakarxli kali ini muncul dengan lagu baharu berjudul Naik.
Bagaimanapun, penyanyi yang berada di bawah naungan Def Jam Malaysia ini tidak bersendirian sebaliknya lagu ciptaannya bersama Shazee Ishak dan Tilla Hanna itu turut menampilkan Shalma Eliana.
Mula berkongsi bakat di zaman 'underground' sejak tahun 2013, pemilik nama penuh Mohamad Faiz Mohamad Yusuf ini antara pelopor terkini yang memperjuangkan genre muzik sinonim dengan kebanyakan rapper di luar negara.
Lagu bergenre adunan hip hop dan pop itu mengangkat perkataaan Naik sebagai satu ruang semangat meneruskan perjuangan hidup.
"Lagu itu umpama motivasi dan penyuntik semangat untuk saya dan mereka yang menikmatinya. Naik itu seperti kita berusaha terus tanpa mengalah dan endahkan bualan orang yang skeptikal mahupun meraguinya.
“Naik itu juga umpama satu kata ganti kepada maju ke depan. Orang bilang kata kata itu doa. Semua yang hidup nak maju dan berjaya. Pilihan kita untuk jadi lebih baik ialah kuat.
"Benar kejayaan itu tak datang sekelip mata. Pasti ada laluan berliku yang datang silih berganti. Saya harap lagu ini dapat dijadikan pembakar semangat semua yang hampir rasa mengalah," katanya.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu NiNiNi itu lagi, karya terbaru berkenaan juga cukup dekat dengannya.
"Sebagai penyanyi, saya cuba sebaik mungkin untuk bawa muzik yang boleh kita 'relate'. Tambahan dengan situasi getir pandemik COVID-19 dan isu semasa lain, saya harap lagu ini dapat menyuarakan isi hati kita.
“Satu cabaran juga menulis lagu ini pada awalnya kerana ia lebih sarat dengan mesej berguna. Saya ambil masa dua minggu juga untuk memikirkan rangka dan bait lirik. Namun apabila sudah datang semangat, semua proses jadi mudah.
"Menerusi lagu ini juga saya buat kali pertama bekerjasama dengan Shazee dan juga Altimet untuk proses penerbitan. Malah kami masing masing terbuka berkongsi ilmu dan pendapat," ujarnya.
Ditanya mengenai Shalma, Abubakarxli melihat penyanyi dan pelakon berkenaan sebagai pilihan tepat.
"Tona suaranya memang saya mahukan dalam bayangan penyanyi wanita yang dicari. Malah saya tak nampak sesiapa lagi selain dia.
“Kami pantas mencipta keserasian. Ia secara tak langsung memudahkan proses rakaman selain jadi lebih organik," hurainya.
Kata Abubakarxli lagi, rakaman video muzik juga sudah siap. Manakala proses pembuatan lagu dan rakaman sekitar September tahun lalu.
"Video muzik lagu ini antara yang paling cepat disiapkan dan ia dibuat di dalam studio. Kami lakukannya pada 31 Mac lalu dengan menggunakan konsep latar skrin hijau dan diarahkan Thaqif Saadon.
“Dia boleh saya sifatkan sebagai pengarah yang genius dan tahu apa yang dimahukan," katanya yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa artis tanah air,” jelasnya.
Lagu Naik kini sudahpun tersedia di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muziknya juga boleh ditonton di saluran YouTube Abubakarxli.