Laman Utama
"Saya Tak Pasti Akan Menangis Atau..."- Masya-Allah! Anuar Zain Bakal Ke Lubnan, Sertai Misi Kemanusiaan Ketika Ramadan?
Wajar dijadikan artis contoh! Mungkin itu tanggapan orang ramai apabila penyanyi tersohor Anuar Zain berhasrat menyantuni pelarian di negara Lubnan bersama Syria Care Ramadan nanti.
Menurut Anuar kesengsaraan yang ditanggung mangsa konflik kemanusiaan di Lubnan menyentuh perasaan lalu membuka pintu hatinya untuk menyertai misi kemanusiaan tersebut.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 52, berkata, dia akan berlepas ke Lubnan pada 10 April dan berada di sana selama lapan hari.
Sepanjang di sana, Anuar berkata dia akan membantu Syria Care mengagihkan bantuan makanan kepada pelarian sepanjang bulan puasa.
“Kita ini apabila sudah puas bekerja untuk diri dan keluarga tapi kadang-kadang kita rasa terpanggil, adakah sudah cukup kita membantu dan memberi kesenangan kepada orang lain.
“Dengan adanya Syria Care, saya terpanggil menjayakan misi ini.
"Keadaan hidup mereka di sana yang sangat susah bukan sahaja dari segi makanan, tempat tinggal juga sukar dari segi emosi,” katanya.
Jelasnya lagi, bukan setakat mahu menjadi salah seorang ahli misi kemanusiaan, dia pada masa sama mahu menyuntik semangat kepada para pelarian di Lubnan untuk terus kuat meskipun ujian yang dihadapi sangat getir.
“Saya tidak pasti sama ada akan menangis atau tidak ketika di sana nanti.
"Selalunya orang fikir, kalau kita menangis, kita lemah.
“Niat saya hanya ingin memberikan sokongan emosi dan tidak mahu nampak lemah biar orang nampak kita dalam keadaan begitu profesional,” katanya yang begitu teruja untuk berpuasa selama 17 jam buat pertama kali dalam hidupnya.
Sekadar info, Syria Care mensasarkan dana sebanyak RM225,000 bagi membantu lebih kurang 1,000 keluarga di negara bergolak berkenaan.
Orang ramai yang ingin menyumbang khususnya menaja set iftar serendah RM15 atau pek makanan kering bernilai RM150 boleh berbuat demikian melalui pautan khas Anuar Zain iaitu donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/anuarzain.
Must-Watch Video