Emosi penyampai radio DJ Lin atau nama penuhnya Roslinda Abdul Majid, bercampur baur apabila melihat puteri sulungnya diterima memasuki universiti.

DJ Lin yang juga Pengurus Kanan Suria FM, berkata, jerih perih membesarkan dua anak bersendirian akhinya terbayar.

Anaknya, Nureen Aresya, 18, diterima melanjutkan pelajaran dalam jurusan Juru Ukur Bahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seri Iskandar, Perak, baru-baru ini.

Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu berkata, kejayaan anak sulungnya menjadi anugerah terindah buat dirinya yang selama ini, berusaha keras memenuhi keperluan mereka.

“Alhamdulillah, di sebalik komitmen terhadap kerjaya yang membataskan masa bersama mereka, anak sulung saya masih mampu mencipta kejayaan sama seperti rakan sebaya yang lain.

“Saya tidak punya kekayaan untuk diberikan kepada anak, namun saya berusaha memberikan kasih sayang sepenuhnya supaya mereka tidak merasai kekurangan membesar dalam keluarga tidak sempurna,” katanya.

Calon awal Penyampai Radio Popular, ABPBH 32 berkata, pencapaian anak sulungnya itu membuatkan dia sebak, terutama apabila mengenangkan dirinya tidak dapat selalu bersama ketika Nureen Aresya dan adiknya, Nazren Asyran, 16, memerlukannya.

“Tuntutan kerja membuatkan masa saya bersama anak terbatas. Ada ketika, saya terkilan kerana tidak dapat menjadi ibu yang sempurna buat mereka, tetapi anak memahami situasi saya.

“Bayangkan, sepanjang hari saya sibuk dengan tugasan di pejabat. Selalunya pada sebelah siang, saya sibuk dengan mesyuarat dan menguruskan perjalanan stesen, malam pula saya menyambung tugas di konti.

“Jika tanpa kesungguhan, tidak mungkin kejayaan itu dapat dicapai Nureen Aresya. Saya berharap kesungguhannya itu menjadi pendorong kepada adiknya untuk melakar kejayaan serupa,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai harapannya dalam ABPBH 32, DJ Lin berkata, dia menyerahkan sepenuh keputusan kepada peminat untuk menentukan sama ada dia layak membolosi Top 5 atau sebaliknya.

“Berada dalam pencalonan awal sudah membuatkan saya teruja, apatah lagi jika kembali layak bersaing dalam Top 5. Alhamdulillah, sejak lima tahun lalu, kemampuan saya semakin dipercayai apabila masih bertahan dalam Top 5, bukan hanya pada ABPBH, tetapi juga anugerah lain.

“Jika berjaya membolosi Top 5 pada ABPBH 32, ia menjadi hadiah paling manis sempena ulang tahun dua dekad pembabitan saya dalam dunia penyiaran,” katanya yang popular menerusi segmen Suria Cinta.

Sumber: BHOnline
Foto: Instagram DJ Lin